March 20, 2016

‘Demi anak saya perlu kuat’

Jothi menerima sumbangan barangan keperluan daripada Econsave cawangan Kluang di kediamannya di Jalan Semangat 17, Taman Sri Lambak, semalam.

KLUANG - Selepas kematian suami akibat kemalangan pada 26 Disember tahun lalu, seorang ibu tunggal terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

T Jothi berkata, selepas kematian suaminya, dia seolah-olah hilang arah kerana terkejut dengan kejadian menimpa ahli keluarganya.

Menurutnya, walaupun sukar untuk meneruskan kehidupan, dia perlu kuat demi membesarkan dua anak yang berusia 10 tahun dan 8 bulan.

“Dugaan yang perlu dilalui sangat besar, tapi demi anak-anak saya perlu kuat. Ketika itu saya tak boleh keluar bekerja kerana anak bongsu masih kecil untuk ditinggalkan.

“Disebabkan itu saya bekerja dari rumah dengan buka perniagaan buat rawatan muka dan inai. Saya buat kecil-kecilan... di samping jaga anak, saya mampu cari duit untuk sara keluarga.

“Pendapatan bulanan yang saya mampu peroleh lebih kurang RM450 sebulan dan ia bergantung kepada pelanggan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan saya ini,” katanya ketika dikunjungi di kediamannya di Jalan Semangat 17, Taman Sri Lambak, dekat sini, semalam.

Jothi berkata, pendapatan yang diperoleh itu mampu menyara kehidupannya selain mendapat bantuan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dua anaknya.

“Kesusahan saya banyak dibantu keluarga sendiri sekali gus, meringankan sikit beban.

“Sejak kematian suami, abang sayalah yang banyak bantu bayarkan duit sewa rumah RM350 sebulan. Kalau tidak, sudah pasti saya tak tahu apa mahu buat kerana banyak benda yang perlu dibayar selain bil elektrik dan air,” katanya.

Bagaimanapun, kesusahan Jothi mendapat perhatian Econsave cawangan Kluang yang tampil menghulurkan sumbangan.

Pengurus Operasi Econsave Johor, Mas Imran Adam berkata, bantuan yang disalurkan itu secara ‘one off’ bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.

“Bantuan yang diberikan ini adalah salah satu daripada tanggungjawab sosial syarikat saya untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Hadir sama dalam penyerahan bantuan itu, wakil Ahli Parlimen Sembrong, Jasmani Hadis dan Pengurus Econsave Kluang, V. Kasturi Bai.

Sinar Harian 18 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment