March 16, 2016

Wanita maut MPV terbabas

Keadaan kenderaan yang jatuh ke dalam parit mengakibatkan seorang penumpangnya maut.

SERI MANJUNG – Seorang wanita maut sementara tujuh yang lain cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dalam parit di Kilometer 7 Jalan Pantai Remis-Batu Hampar berhampiran Kampung Permatang Acheh, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu menyebabkan wanita berusia 54 tahun maut di tempat kejadian sementara pemandu berusia 23 tahun serta enam penumpang lain masing-masing berusia antara lima hingga 32 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kenderaan terbabit datang dari arah Pantai Remis menuju ke Batu Hampar dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tembok dan jatuh ke dalam parit.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang wanita berusia 54 tahun maut di tempat kejadian manakala penumpang lain termasuk pemandu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

 Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment