March 16, 2016

Terperanjat bunyi dentuman kuat

Keadaan Perodua Myvi yang terbalik di tengah jalan selepas melanggar belakang kereta yang dipandu Norshahida dalam kejadian jam 10.45 pagi di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai.

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu bersama dua anak terperanjat apabila kereta Perodua Myvi yang di parkir di tepi jalan dilanggar dari arah belakang dalam satu kejadian di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, semalam.

Mangsa, Norshahida Ghani, 26, dari Kampung Surau Haji Daud berkata, ketika kejadian, dia bersama dua lagi anaknya, Putri Nur Balqis, 8 dan Nur Wirdani Al-Zahra, 2 berada di dalam kereta sementara menunggu ibunya membeli tembikai di tepi jalan.

“Saya begitu terkejut kerana dengan tiba-tiba kereta itu melanggar belakang kereta saya sebelum terbalik di tengah jalan. Memang ketika itu bunyi dentuman amat kuat.

“Masa tu saya tak dapat fikir apa-apa selain mengharapkan tiada apa yang buruk berlaku. Mujurlah kedua-dua anak saya selamat dan hanya terkejut serta mengalami hentakan pada bahagian kepala,” katanya

Sementara itu, ibu mangsa, Zemah Abdullah, 55, berkata, dia bersyukur kerana kedua cucunya dan anaknya terselamat dalam kejadian yang berlaku begitu pantas itu.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya sempat mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta melanggar belakang kereta yang dinaiki anak saya bersama dua cucu yang di parkir di tepi jalan.

“Mujurlah, mereka bertiga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut Zemah, dalam kejadian jam 10.45 pagi semalam, dia sedang membeli buah tembikai yang dijual di tepi jalan dalam perjalanan ke pasar raya Mydin, Kuala Ibai.

“Kebetulan saya nampak ada banyak buah tembikai dijual di tepi jalan, saya pun minta anak berhentikan kereta untuk singgah beli buah tembikai sebelum ke Mydin. Sebaik selesai membeli tembikai, ada sebuah kereta melanggar belakang kereta anak saya sebelum kereta itu terbalik.

“Ketika itu saya memang rasa sangat cemas bimbang keadaan anak dan dua cucu yang berada dalam kereta. Mujurlah mereka tiada apa-apa cuma kepala cucu saya sahaja terhantuk pada dinding kereta akibat hentakan yang kuat,” katanya.

Menurut Zemah, kejadian itu berlaku amat pantas, mujurlah pemandu kereta berkenaan sempat keluar dari kenderaannya yang terbalik dan terselamat.

Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment