March 14, 2016

Treler mengganas rempuh 20 kereta


Banyak kenderaan yang rosak. - Foto Ihsan Pembaca

Suasana tempat kejadian yang kelam kabut. - Foto Ihsan Pembaca

Antara kenderaan yang rosak. - Foto MOHD HILMIE HUSSIN

Orang ramai melihat keadaan kereta mereka yang rosak. - Foto MOHD HILMIE HUSSIN

Melaka: Lebih 20 kenderaan pelbagai jenis milik penonton perlawanan bola sepak Liga Super antara PDRM dan JDT yang diparkir di tepi jalan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat dirempuh kenderaan berat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, dentuman kuat akibat rempuhan itu kedengaran hingga ke dalam Stadium Hang Jebat.

Sehingga tengah malam tadi, polis bagaimanapun masih belum memberi maklum balas mengenai kejadian itu.

Difahamkan kenderaan terbabit dirempuh sebuah treler berikutan laluan menjadi sempit kerana kenderaan diletak di kiri dan kanan jalan.

myMetro 14 Mac 2016


Ceria tersentak

KESESAKAN yang berlaku akibat kenderaan penonton bola sepak rosak teruk dirempuh treler, malam kelmarin.

SEBAHAGIAN daripada kenderaan milik penonton perlawanan bola sepak Liga Super antara PDRM dan JDT yang di parkir di tepi jalan di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh rosak teruk dirempuh kenderaan berat.

Melaka: “Saya tetap puas hati kerana pasukan saya menang malam tadi (kelmarin), memang berbaloi walaupun kereta rosak teruk,” kata penyokong Johor Darul Takzim (JDT) Ahmad Razimi Mohd Taib, 22, seorang daripada 20 pemilik kenderaan yang rosak teruk selepas dipercayai digesel treler.

Difahamkan, segelintir penyokong yang menyaksikan perlawanan itu meletakkan kenderaan mereka secara berlapis di laluan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dari arah Ayer Keroh menuju Paya Rumput berhampiran Stadium Hang Jebat di sini sebelum digesel sebuah treler.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu berkata, dia bersama 15 pemilik kenderaan lain keluar dari pekarangan stadium dengan perasaan ceria selepas pasukan mereka berjaya menundukkan PDRM 2-0.

“Bagaimanapun, keceriaan kami terbantut sebaik melihat kenderaan masing-masing termasuk Proton Perdana milik saya remuk teruk.

“Berdasarkan keadaan, saya tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku antara jam 9.50 dan 10.30 malam ketika saya bersama 30,000 penyokong kedua-dua pasukan leka menyaksikan perlawanan.

“Saya termenung seketika melihat keadaan kereta yang remuk selain dihimpit dua kenderaan lain, lebih merisaukan apabila kereta itu milik bapa yang dipinjam semata-mata untuk menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Dia yang tinggal di Ayer Keroh berkata, walaupun risau kejadian sama akan berulang, namun tidak serik ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukannya.

“Selepas kejadian ini, saya memilih ke stadium dengan menunggang motosikal bagi mengelak menerima nasib sama dan terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki kerosakan kereta milik bapa,” katanya.

Saksi kejadian Azmil Aziz, 30, berkata, sebelum kejadian dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan sempat melihat dua treler berada tidak jauh dari beberapa kenderaan di hadapannya.

“Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi dentuman kuat dipercayai apabila treler itu melanggar kenderaan yang diletakkan di atas jalan berikutan laluan yang sempit,” katanya.

myMetro 15 Mac 2016


Pemandu treler baran ditangkap

INILAH treler yang merempuh dan mengheret 15 buah kenderaan di tepi jalan di Lebuh SPA di Melaka pada Ahad lalu.

MELAKA – Polis menahan seorang pemandu sebuah treler yang dipercayai merempuh dan meng­heret lebih 15 buah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Lebuh Su­ngai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) malam Ahad lalu.

Lelaki berusia 50-an itu ditahan di Balai Polis Salak Tinggi, Sepang, Selangor ketika dia hadir membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.12 petang kelmarin.

Sebaik ditahan, lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Me­laka Te­ngah dan disiasat oleh pegawai trafik di IPD tersebut.

Polis juga menyita tre­ler itu dan sekarang ia dile­takkan di Balai Polis Malim di sini.

Ketua Polis Daerah Me­laka Tengah Asisten, Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, treler 14 tayar semasa kejadian tanpa muatan milik sebuah syarikat pengangkutan yang berpangkalan di utara tanah air.

Menurut beliau, lelaki yang berasal dari Kedah itu memberikan kerjasama baik semasa dia ditahan dan disiasat.

Kosmo 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment