March 14, 2016

Urus bawa pulang jenazah wartawan

SANTHIRAN

Kuala Lumpur: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bagi urusan membawa pulang jenazah pewarta luar negaranya di India yang meninggal dunia akibat komplikasi organ malam kelmarin.

Pengerusi BERNAMA Datuk Seri Azman Ujang berkata, setakat ini segala persiapan dan proses sedang dilakukan untuk membawa pulang mayat mendiang M Santhiran, 48, ke tanah air secepat mungkin.

“Bahagian Sumber Manusia BERNAMA sudah dimaklumkan untuk memberikan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India bagi melancarkan proses penghantaran pulang itu,” katanya kepada BERNAMA di sini, semalam.

Mendiang meninggal dunia di Hospital Primus Chanakyapuri, New Delhi jam 11.40 malam (waktu Malaysia jam 2.10 pagi) selepas mengalami beberapa komplikasi organ.

Sementara itu, Pengurus Besar BERNAMA Datuk Zulkefli Salleh turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan mendiang bukan sekadar wartawan, tetapi juga rakan karib.

Mendiang meninggalkan isteri, Malarvili a/p Dorasamy, 47, dan dua anak lelaki S. Rutran, 18, dan S. Nahvin, 16.

Santhiran menyertai BERNAMA pada Oktober 2002 dan bertugas sebagai pewarta luar negara di India bermula 1 Februari 2015.– BERNAMA

myMetro 14 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment