March 20, 2016

Tragedi selepas jumpa rakan



Johor Bahru: Peguam berusia 57 tahun ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 hotel di Jalan Ngee Heng, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam, pada 3.30 petang.

Katanya, bertindak daripada laporan itu pihaknya ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di atas kawasan letak kereta di lorong hotel itu.

"Pegawai perubatan hospital yang memeriksa mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan awal polis turut mendapati mangsa dihantar oleh pemandunya dengan kereta dari pejabatnya di Jalan Wong Ah Fook, ke hotel berkenaan untuk berjumpa rakannya, kira-kira 2 petang.

Beliau berkata, pekerja hotel yang berada berhampiran lokasi kejadian terdengar bunyi dentuman kuat sebelum menemui mangsa parah di lorong itu.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

myMetro 18 Mac 2016


Peguam maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10

JOHOR BAHRU - Seorang peguam berusia 57 tahun ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari aras 10 sebuah hotel di bandaraya ini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mayat mangsa yang berbaju kemeja lengan panjang warna biru muda dan seluar panjang warna hitam serta berstokin hitam ditemui tertiarap di atas jalan masuk ke parkir hotel berkenaan kira-kira jam 3.45 petang.

"Pihak hospital yang datang membuat pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian yang mana peha sebelah kanannya telah patah.

"Terdapat luka didagu mangsa selain seluar yang dipakai koyak dan tali pinggangnya turut putus," katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, hasil siasatan awal mendapati pada jam lebih kurang 2.00 petang mangsa telah dihantar oleh pemandunya dengan kereta dari pejabatnya ke hotel berkenaan dengan tujuan berjumpa kawannya.

"Pemandu mangsa kemudiannya telah menurunkan dia di depan pintu masuk utama hotel dan tidak nampak serta tidak mengetahui dengan siapa mangsa berjumpa.

"Pemandunya kemudian telah pergi ke gerai yang terletak tidak jauh dari hotel terbabit," katanya.

Beliau berkata, siasatan kemudiannya mendapati mangsa seorang diri telah berjalan di aras 10 hotel terbabit yang merupakan kawasan parkir kereta sebelum kemudiannya buka kasut dan memanjat tembok lalu terjun.

"Pekerja hotel yang berada berdekatan dengan lokasi mangsa telah terdengar bunyi sesuatu jatuh lalu membuat pemeriksaan dan melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri.

"Tiada sebarang nota atau mesej ditinggalkan oleh mangsa yang beralamat Majidee Park, di sini," katanya.

Ujar Sulaiman lagi, mangsa dipercayai memiliki sebuah firma guaman di Menara Public Bank, Jalan Wong Ah Fook, di sini.

"Siasatan awal juga mendapati mangsa tidak ada menunjukkan sebarang masalah.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat serta siasatan lanjut dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sinar Harian 18 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment