March 20, 2016

Ribuan ikan sangkar mati

Ikan-ikan di dalam sangkar mati akibat cuaca panas.

KUALA SEPETANG – Penternak ikan sangkar di sini, mengalami kerugian ratusan ribu ringgit selepas hidupan laut itu mati dipercayai akibat cuaca panas.

Penternak, Chuah Thye Guan, 55, berkata, dia tidak menyangka kejadian cuaca panas yang berlaku ketika ini boleh mengakibatkan semua ikan ternakannya mati.

Menurutnya, ia merupakan kejadian kedua selepas berlaku pada 2007 yang lalu.

“Cuaca panas kini mengakibatkan air laut menjadi panas dan seterusnya kering sehingga haba meningkat.

"Akibatnya, ribuan ikan siakap dan merah kekurangan oksigen dan mati,” katanya.

Thye Guan berkata, awal minggu lalu, dia baharu sahaja memasukkan anak-anak ikan ke dalam sangkar.

"Saya dan beberapa pekerja terpaksa mengeluarkan semua ikan yang mati supaya tidak membusuk di kolam ini.

“Seterusnya menyelamatkan ikan-ikan yang masih hidup dan memasang oksigen tambahan. Bagaimanapun, saya hanya sempat selamatkan sebahagian kecil sahaja,” katanya.

Katanya, sejak Isnin lalu, keadaan sudah kembali pulih seperti sedia kala dan bilangan ikan yang mati  berkurangan.

“Di kawasan Kuala Sepetang dan Kuala Sangga terdapat kira-kira enam hingga tujuh penternak. Masing-masing berhadapan masalah sama, namun kini berjaya diselesaikan.

“Selain itu, kami juga amat berharap Jabatan Perikanan dapat menyalurkan bantuan sekali gus menjalankan ujian bagi menyiasat punca kejadian ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berkata, kejadian tersebut berkemungkinan besar disebabkan fenomena ekuinoks yang sedang melanda Malaysia ketika ini.

“Keadaan cuaca panas melampau dan musim air laut surut mungkin menjadi penyumbang kepada kejadian ikan mati ini.

“Diharap Jabatan Perikanan  mengambil perhatian dengan isu cuaca panas terlampau ini supaya ia dapat memberikan maklumat kepada penternak bagi mencegah kejadian sama berulang,” katanya.

Sinar Harian 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment