March 16, 2016

Timbalan ketua polis cedera dipukul

TEMERLOH – Perlawanan terakhir kejohanan Muay Thai terbuka Pahang di tapak parkir Star Mall di sini, malam kelmarin, kecoh dengan pelbagai provokasi selepas penyokong dan pegawai sebelah pihak tidak puas hati dengan keputusan juri.

Malah, kekecohan perlawanan terakhir daripada lima regu membabitkan peninju Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh menentang sebuah kelab dari Terengganu itu, turut mencederakan Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood.

Zundin berkata, beliau bangun apabila melihat kekecohan sebelum seorang lelaki memukul belakang kepalanya dengan kerusi besi.

“Saya jatuh dan cuba bangun tapi lelaki tu nak pukul lagi. Anak lelaki berusia 24 tahun yang datang bersama cuba halang dengan tangannya.

"Tangan anak saya mungkin retak atau patah, gigi saya pun patah dan hari ini (semalam) saya terima rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Lalang untuk X-ray kepala," katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, sehingga semalam belum ada tangkapan dibuat dan kes akan dibuka kerana merusuh.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Temerloh, Rosyatina Ab Wahab berkata, sudah ada tanda akan ada berlaku kekecohan pada pusingan keempat perlawanan terakhir itu apabila ada penyokong mula naik ke gelanggang.

“Saya sebenarnya nak balik awal tetapi penganjur minta tunggu dan saya akur. Lepas juri umumkan keputusan seri, penyokong tak puas hati mula buat kecoh.

"Zundin cuba leraikan tapi dipukul dengan kerusi menyebabkan dia jatuh...giginya patah dan kepalanya berdarah. Masa tu, anggota JPAM tarik saya keluar," katanya.

Difahamkan, lelaki yang mencederakan Zundin bersama rakan-rakannya melarikan diri dengan pacuan empat roda. Malah, ada yang menyelinap dalam semak berhampiran selepas melakukan kekecohan itu.

Sementara itu, penulis sendiri yang menyaksikan perlawanan itu bersama isteri dan tiga anak sudah menjangkakan akan berlaku kekecohan pada hari terakhir kejohanan itu.

Keputusan membawa keluar isteri dan anak pada permulaan regu ketiga memasuki gelanggang tindakan tepat mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh, Megat Asri Abdul Jalil memohon maaf kerana kekecohan itu.

Katanya, kejadian mungkin disebabkan ada penonton yang berjudi sesama mereka.

“Sukan ini mungkin sukar dianjurkan selepas ini, terutama melibatkan permit penganjuran dan soal keselamatan,” katanya.

Kejohanan Muay Thai Terbuka Pahang anjuran Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Temerloh, Pusat Khidmat Dun Lanchang, Pejabat Belia dan Sukan, Majlis Belia Daerah dan Star Mall Car Boot Sale itu disertai 30 peserta dan menawarkan hadiah keseluruhan RM15,000.

Sinar Harian 15 Mac 2016


Suspek pukul polis dikenal pasti

TEMERLOH - Polis mengenal pasti lebih daripada seorang suspek yang terlibat menimbulkan kekecohan dan memukul timbalan ketua polis daerah pada perlawanan terakhir Kejohanan Muay Thai Terbuka Pahang, di tapak parkir Star Mall di sini, Ahad lalu.

Jurucakap polis memaklumkan, semua suspek terbabit bukan berasal dari negeri ini dan mereka dipercayai menimbulkan provokasi melampau serta bertindak memukul pegawai polis.

Menurutnya, polis mengenal pasti ramai yang menimbulkan provokasi pada malam itu walaupun mereka melarikan diri dan ada yang lari meninggalkan kenderaan.

“Kami kenal pasti dua ke tiga suspek dari luar Pahang dan yakin akan menangkap mereka dalam tempoh sehari dua ini. Kami akan maklumkan apabila mereka ditangkap nanti.

“Mereka pun tahu sedang diburu polis, jadi kita tunggu tangkapan sehari dua ini. Polis membuka kertas siasatan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood yang cedera di kepala masih berehat di rumah sewaktu dihubungi semalam.

Anak lelaki Zundin memaklumkan, bapanya berehat selepas menerima rawatan  sejak kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam Ahad lalu, Zundin cedera di belakang kepala, muka dan patah gigi apabila dihentak dengan kerusi bankuet oleh salah seorang perusuh yang menonton perlawanan terakhir Muay Thai.

Kejadian berlaku sebaik sahaja Zundin bangun dari tempat duduk apabila melihat segelintir penyokong mula menimbulkan provokasi selepas pengadil mengumumkan keputusan seri antara dua peninju dari Kelab Muay Thai Patin Mas Temerloh dan sebuah Kelab Muay Thai dari Terengganu.

Anak lelaki Zundin yang berusia 24 tahun juga cedera di tangan apabila cuba menghalang penyerang daripada terus memukul bapanya.

Sinar Harian 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment