March 16, 2016

Kertas siasatan kes guru agama dipukul polis dibuka

ALOR SETAR  -  Polis akan menjalankan siasatan secara telus berhubung kes seorang guru agama yang mendakwa dipukul, ditumbuk dan digari dua anggota polis di Balai Polis Gurun pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung aduan itu serta sedang menunggu laporan perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah berhubung kecederaan pengadu sebelum dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

Insiden itu menyebabkan kepala Mohd Na'im Zakaria, 29, berdarah selain lebam di tangan akibat digari.

"Polis memandang serius dakwaan yang dibuat pengadu dan akan menyiasat secara telus dan terperinci mengikut undang-undang sedia ada tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

"Kita telah mengambil tindakan segera dengan menyiasat aduan pengadu selain menjalankan siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap anggota polis yang terlibat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zamri berkata, pengadu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 12 Februari lalu untuk menjalankan proses kawad cam bagi mengenal pasti anggota polis yang terlibat, namun beliau tidak hadir dan dimaklumkan akan menjalankan kawad cam pada 17 Februari ini.

Beliau berkata, kejadian jam 9.45 malam Selasa lalu berlaku ketika pengadu yang menunggang motosikal berkuasa tinggi melalui sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Gurun sebelum ditahan polis yang memintanya menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan.

"Semasa pemeriksaan, berlaku perselisihan faham yang berpunca daripada pertanyaan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya itu berkaitan kuasa kuda (cc) motosikal yang ditunggang pengadu.

"Anggota polis itu mendapati terdapat kesalahan pada nombor pendaftaran motosikal pengadu dan saman telah dikeluarkan namun pengadu tidak mahu menandatanganinya serta melakukan provokasi," katanya.

Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Undang-Undang Kesalahan Kecil 1955.  -  Bernama

15 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment