March 4, 2016

Tiga ekor buaya ganas tumpas di Sungai Santubong

Tiga ekor buaya yang berjaya ditangkap pasukan SWAT SFC di Sungai Santubong, Kuching kelmarin.

KUCHING – Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) menangkap tiga ekor buaya di Sungai Santubong di sini kelmarin.

Jurucakap SFC berkata, seekor buaya yang menjadi buruan kerana dipercayai membaham seorang remaja lelaki, Raziman Razali, 16, di pantai Kampung Santubong pada 11 Januari lalu turut ditangkap.

Menurutnya, sang bedal sepanjang kira-kira empat meter dan seberat lebih 100 kilogram itu telah ditembak mati oleh pasukan SWAT SFC kira-kira pukul 4 petang.

“Dua ekor buaya lagi yang memiliki panjang dan berat yang hampir sama ditangkap menggunakan kail yang dipasang di beberapa lokasi di tebing sungai itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Jurucakap itu memberitahu, operasi memburu reptilia ganas yang dilakukan bersama anggota Jabatan Hutan Sarawak telah dijalankan sejak seminggu lalu.

Katanya, ketiga-tiga bangkai buaya jenis tembaga itu telah dibawa ke Pusat Hidupan Liar Matang di sini untuk tindakan lanjut.

Kosmo 4 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment