March 4, 2016

Seorang maut tiga kenderaan bertembung

FOTO ihsan bomba

Tampin: Seorang pemandu van maut manakala empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Air Kuning, Gemas, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian 9 pagi itu membabitkan sebuah van, kereta Proton Satria dan Proton Saga yang terbabas dan bertembung hingga mengakibatkan seorang lelaki yang juga pemandu van terbabit tercampak dan meninggal dunia serta-merta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan 9.02 pagi dan ke lokasi kejadian bersama enam anggota serta jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Setiba di lokasi, kita mendapati seorang lelaki dan seorang kanak-kanak cedera di dalam sebuah kereta, manakala dalam sebuah lagi kereta, pasangan suami isteri tersepit dan mengalami kecederaan parah.

"Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan pasangan terbabit daripada kenderaan. Semua mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan," katanya.

myMetro 4 Mac 2016



Seorang lagi mangsa kemalangan meninggal dunia

Tampin: Seorang lagi mangsa kemalangan tiga kenderaan di Jalan Air Kuning, Gemas, dekat sini, pagi tadi, meninggal dunia di hospital, menjadikan dua maut.

Mangsa, Rohayu Ghazali, 28, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jasin, Melaka, manakala lelaki berusia 28 tahun dipercayai suaminya dilaporkan kritikal dan masih dirawat di hospital sama.

Kejadian 9 pagi itu berlaku apabila Proton Satria Neo dinaiki pasangan itu dari arah Gemas terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung van, manakala Proton Saga yang mengekori belakang van tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu van yang juga lelaki warga Pakistan, Razio Fazal, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu dan penumpang Satria Neo parah tersepit di tempat duduk dan dikeluarkan pasukan bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin, Melaka. Bagaimanapun, wanita terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 4 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment