March 4, 2016

Lori tangki diesel terbalik

FOTO ihsan bomba

Sepang: Sebuah lori tangki membawa minyak diesel terbalik dalam kejadian kemalangan di Simpang LBJ, Jalan Besar Sepang menghala ke Salak Tinggi kira-kira 7 pagi hari ini.

Difahamkan, lori tangki itu dalam perjalanan dari arah Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai terlanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Pegawai Bomba Kanan II, Alpian Ab Hadi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.04 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian, orang awam sudah mengeluarkan pemandu lori terbabit.

"Berlaku sedikit tumpahan minyak diesel namun, kerja pembersihan dilakukan pihak bomba bagi memastikan keadaan selamat serta tidak membahayakan pengguna.

"Pada masa sama, pihak polis turut membantu mengawal trafik memandangkan berlaku kesesakan akibat kemalangan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Alpian berkata, syarikat pemilik lori tangki berkenaan turut tiba di tempat kejadian untuk menyedut dan memindahkan minyak diesel ke lori lain.

Katanya, pemandu lori terbabit, Radziman Shamsudin, 44, tidak mengalami kecederaan luaran namun, dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk pemeriksaan rawatan susulan.

myMetro 4 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment