March 22, 2016

Terhumban dalam longkang selepas motosikal yang dinaiki terbabas

Bomba membantu mangsa yang terhumban dalam longkang.

AMPANG - Seorang lelaki cedera selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter selepas motosikal yang dinaikinya dipercayai terbabas dalam satu kejadian di Taman Putra, Pandan Indah di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu berlaku apabila Mazlan Ali, 38 tahun dipercayai hilang imbangan sebaik membelok ke sebelah kanan laluan keluar berhampiran longkang itu sebelum terjatuh ke dalamnya.

Difahamkan, kejadian itu disedari orang awam yang melalui kawasan itu selepas melihat motosikal mangsa di tebing longkang itu sebelum menelefon pihak bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.48 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan terbaring di dalam longkang dan tidak dapat menggerakkan tubuhnya selain mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terjatuh ke dalam longkang itu.

"Anggota bomba terpaksa menggunakan pengusung untuk membawa naik mangsa ke atas tebing longkang dan khidmat khas itu dilakukan dalam tempoh 15 minit," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya lagi, mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut. - K! ONLINE

21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment