March 2, 2016

Suami isteri maut dilanggar kereta

Kemalangan yang mengorbankan penunggang dan pembonceng motosikal, petang tadi. FOTO ihsan pembaca

Sungai Petani: Penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas dilanggar kereta di Kilometer 106.4 Lebuhraya PLUS arah selatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 6 petang, lelaki dan wanita berusia 30-an itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Jurucakap polis berkata, motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai dilanggar Perodua Myvi dari arah belakang.

Katanya, akibat rempuhan itu, motosikal berkenaan terperosok di bawah treler yang diparkir di tepi lebuh raya.

"Mangsa perempuan terperosok bersama motosikal di bawah tayar belakang, manakala mangsa lelaki tercampak di tepi penghadang lebuh raya. Kedua-duanya mati serta merta di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, sepasukan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera EMRS diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Khairi Baharudin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 6.34 petang.

Berikutan itu, tindakan mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

myMetro 1 Mac 2016


Pasangan suami isteri maut motosikal dirempuh kereta


SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis perodua Myvi dari arah belakang di Kilometer 106.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu mengakibatkan Hanizar Abdul Hamid, 44, dan isterinya, Zaiton Awang, 40-an, terpelanting lalu terperosok ke bawah penghadang jalan dan di bawah lori treler yang berhenti di lorong kecemasan.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Mayat Zaiton yang terperosok di bawah tayar lori treler terpaksa dibawa keluar oleh anggota bomba.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat.

Lokasi kemalangan dipenuhi cat berwarna kuning yang dipercayai dibawa pasangan suami isteri tersebut.

Pemandu Perodua Myvi yang belum dikenal pasti identiti mengalami kecederaan dan dia dikejarkan ke HSAH untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - K! ONLINE

1 Mac 2016


Suami isteri dikebumi bersama

(Dari kiri), Iskandar Zulkarnain, 8, Muhammad Amirul Hafiz, 10, Nur Ainul Huda, 13 dan Ainatul Balqis, 15, mengaminkan doa di pusara ibu bapa mereka di Masjid Makbul Teluk Kumbar, pagi tadi. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin

Bayan Lepas: Jenazah suami isteri yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS berhampiran Taman Keladi, Sungai Petani petang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar di sini, 11.45 pagi tadi.

Jenazah aktivis teater, Hanizar Abdul Hamid, 44 dan isterinya, Zaiton Awang, 42, tiba dengan dua van jenazah di masjid kira-kira 11 pagi dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah untuk disembahyangkan.

Suasana pilu menyelubungi apabila sanak saudara tidak dapat menahan kesedihan melihat jenazah pasangan suami isteri itu yang terbabit kemalangan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Turut hadir, ibu Hanizar, Hasnah Bakar, 70, serta sanak saudara, rakan artis dan sahabat handai.

Arwah meninggalkan empat anak berusia lapan hingga 15 tahun yang kini dijaga Hasnah.

myMetro 2 Mac 2016


USM bantu empat beradik yatim piatu

Georgetown: Prihatin dan simpati dengan nasib yang menimpa empat beradik yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan jalan raya Selasa lalu, Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan kutipan derma dalam kalangan warga USM bagi mengisi tabung pendidikan kanak-kanak berkenaan.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Omar Osman berkata, beliau dan warga USM bersimpati dengan apa yang berlaku dan berusaha membantu mereka.

"Kita mula mengadakan kutipan di Masjid Al-Malek Khalid, di sini, hari ini dan di semua kampus selama tujuh hari selain meminta penuntut USM menyertai usaha ini.

"Saya berterima kasih kepada Media Prima khususnya Harian Metro yang bekerjasama melakukan kutipan ini,"katanya.

Menurutnya, hati mana yang tidak hancur luluh dan tersentuh melihat empat anak kecil yang berdoa di pusara ayah dan ibu yang meninggal dunia dalam kemalangan dua hari lalu .

"Mereka tentunya memerlukan keprihatinan kita semua untuk turut membantu dan memastikan pendidikan dan masa hadapan mereka terjaga," katanya.

Beliau mengharapkan semua pihak dapat menggembleng tenaga dan membantu empat beradik itu

Katanya, kutipan di USM diselaraskan melalui Pusat Media dan Perhubungan Awam.

Dalam kejadian 6 petang Selasa lalu, Hanizar Abdul Hamid,44, yang menunggang motosikal bersama isterinya Zaiton Awang,42, maut selepas merempuh belakang sebuah treler yang ditinggalkan di Kilometer 106.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.

Arwah meninggalkan empat anak, Ainatul Balqis,15, Nur Ainul Huda,13, Muhammad Amirul Hafiz,10, dan Iskandar Zulkarnain, 8.

myMetro 4 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment