March 2, 2016

Bakti nelayan

ANTARA nelayan yang membantu kerja pembersihan kayu bakau di kawasan sekitar nahas pesawat TUDM. Gambar kecil, Sulian Abdul Malik.

Kuala Selangor: Seramai 12 nelayan dari Kampung Bukit Rotan dan Kampung Assam Jawa, semalam, membantu pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membersihkan kawasan nahas pesawat CN235-220M yang terhempas di pesisir pantai Assam Jawa, dekat sini, Jumaat lalu.

Nelayan berkenaan melakukan kerja pembersihan mulai jam 10 pagi hingga 6 petang seperti mengalihkan kayu serta menebang pokok bakau yang menghalang laluan keluar masuk ke pesawat terbabit.

Wakil nelayan, Sulian Abdul Malik, 51, berkata, TUDM meminta bantuan mereka untuk mencari beberapa nelayan bagi membantu membersihkan kawasan nahas untuk memudahkan kerja membawa bangkai pesawat itu ke lokasi yang bersesuaian.

“Saya dimaklumkan pihak berkuasa mahu melebarkan kawasan paya bakau berhampiran supaya kerja membawa keluar bangkai pesawat itu lebih mudah dan dipercayai ia akan dibawa ke jeti berhampiran iaitu di jeti Kampung Assam Jawa.

“Kami perlu membersihkan kawasan paya bakau dalam jarak lingkungan 100 meter di antara bangkai pesawat dan pesisiran pantai dan ia dijangka selesai dalam beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

myMetro 1 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment