March 26, 2016

'Soleh' disyaki perogol bersiri

Langkawi: Polis menahan lelaki berusia 19 tahun dipercayai perogol bersiri yang memperdayakan mangsa menerusi laman sosial di Kampung Padang Putih Mukim Kedawang, di sini, kelmarin.

Suspek dikenali sebagai 'Soleh' yang diburu sejak enam bulan lalu ditahan bersama 'mangsa' dalam kereta turut mengaku terbabit dalam 10 kes rogol termasuk seorang mangsanya adalah pelajar sekolah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, suspek menggunakan modus operandi menyapa mangsa menerusi laman sosial untuk memerangkap sebelum merogol mangsa.

"Selepas berkenalan dengan mangsa di laman sosial, suspek yang juga bekas pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mengajak mangsa berjumpa di lokasi yang ditetapkan.

"Sebaik tiba di tempat sunyi atau dalam kereta, mangsa akan dicekik dan dipukul secara kekerasan sebelum dirogol," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Che Ghazali berkata, selepas merogol mangsa suspek bertindak memadam semua maklumat diri dan komunikasi dalam telefon bimbit mangsa bagi mengelak perbuatan jahatnya dikesan pihak berkuasa.

Katanya, suspek yang juga bekas kakitangan hotel, di sini, ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

myMetro 24 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment