March 9, 2016

Setiap hari tunggu ayah pulang

KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Felda Kledang, di sini masih menganggap ayahnya keluar bekerja setiap kali ditanya tentang bapanya walaupun hampir setahun Allahyarham meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Menurut ibunya, Zaleha Mohd Yunus, 42, suaminya, Abdul Salleh Abdul Samad, maut selepas kereta dipandu terbabas pada 4 April tahun lalu.

Katanya, walaupun kejadian berlaku hampir setahun lalu, namun anak bongsu dari dua beradik itu, Adam Putra, seolah-olah masih tidak tahu ayahnya telah pergi meninggalkannya, malah setiap petang dia akan menunggu kepulangan ayahnya.

“Saya masih ingat kemalangan berlaku ketika arwah baru keluar rumah untuk pergi ke tempat kerjanya di Tanjung Balau. Namun tak sampai sejam, saya dimaklumkan rakannya, kereta arwah terbabas melanggar pokok.

"Mungkin Adam masih kecil, tambahan pula semasa majlis pengebumian ayahnya, Adam tidur dan tidak dapat ‘jumpa’ buat kali terakhir dengan ayahnya. Berbeza dengan kakaknya berusia 9 tahun dan sudah faham dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui sempena lawatan Perkeso.

Dalam lawatan itu, Adun Tanjung Surat, Datuk Ir Syed Sis Abd Rahman menyerahkan bantuan pencen bulanan daripada Perkeso kepada Zaleha.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Johor, Muhamad Alif Haikal Cheong.

Tambah Zaleha, dia yang bergantung hidup dengan suaminya selama ini turut hilang semangat.

Bagaimanapun, katanya, berkat nasihat ibu selain memikirkan dua anaknya yang memerlukan perhatian dan kasih sayang, dia bangkit meneruskan kehidupan.

“Selepas suami meninggal, saya ambil upah menjahit di rumah untuk sara anak-anak selain bergantung kepada bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya juga sangat bersyukur kerana mendapat bantuan ini. Adik yang banyak membantu untuk dapatkan permohonan tersebut. Alhamdulillah, permohonan itu diluluskan selepas dua bulan...bolehlah saya gunakan untuk belanja anak-anak," katanya.

Sementara itu, Muhamad Alif mengingatkan majikan supaya mencarum dengan Perkeso demi kebajikan pekerja mereka dan sekiranya tidak berbuat demikian majikan boleh dikenakan tindakan.

“Kalau tidak mencarum dan pihak kita tidak dapat maklumat, waris yang teraniaya. Jadi saya nasihatkan majikan supaya daftar untuk kebajikan pekerja," katanya.

Sinar Harian 8 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment