March 22, 2016

RM3 juta lebur

API marak memusnahkan kedai perabot di Jalan Besar, Karak, semalam.

Bentong: Seorang ahli perniagaan menanggung kerugian lebih RM3 juta selepas kedai perabot miliknya di Jalan Besar, Karak, di sini, musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, kedai perabot berkenaan musnah 100 peratus apabila semua barangan di dalam premis terbabit gagal diselamatkan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera dan tanker untuk memadam kebakaran itu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian kita mendapati keadaan api marak dan anggota mengambil masa hampir dua jam untuk mengawal kebakaran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, turut membantu memadamkan kebakaran itu 16 anggota Bomba dan Penyelamat Sukarela Perting, Karak, anggota Balai Polis Karak, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bentong.

Menurutnya, pihaknya tidak menghadapi masalah untuk memadam kebakaran itu kerana semua kelengkapan mencukupi sebelum api dipadamkan dua jam kemudian.

“Unit Forensik JBPM akan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar ditanggung mangsa.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran ini,” katanya.

myMetro 20 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment