March 14, 2016

Presiden kelab kucing puji bomba, JPAM

DINDING rumah terpaksa dipecahkan bagi mengeluarkan anak kucing.

Kuala Lumpur: Tanggungjawab menyelamatkan kucing dilakukan pasukan penyelamat tidak sepatutnya dipandang remeh masyarakat.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid berkata, pihaknya berbangga dengan tugas murni yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang prihatin terhadap usaha menyelamatkan haiwan kesayangan itu.

Katanya, walaupun tugas terbabit bukanlah tugas utama jabatan berkenaan, tetapi mereka tetap mempamerkan keprihatinannya dalam menyelamatkan nyawa makhluk Allah.

“Terdapat banyak kes yang kita lihat menerusi rangkaian media cetak dan Internet mereka (JBPM dan JPAM) melakukan operasi khas bagi menyelamatkan kucing antaranya seperti kes tersepit di dalam bahagian enjin kereta, terperangkap di dalam lubang dan sebagainya.

“Kami memuji sikap pasukan penyelamat yang sanggup mengorbankan masa demi menyelamatkan haiwan walaupun tugas terbabit dianggap sebagai sesuatu yang remeh oleh segelintir pihak.

“Bagaimanapun, mereka tetap komited menjalankan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan nyawa haiwan berkenaan dapat diselamatkan walaupun tanggungjawab yang dipikul oleh JBPM dan JPAM terlalu banyak antaranya menyelamatkan mangsa kebakaran, kemalangan, bencana alam dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Khalid turut menyarankan supaya JBPM dan JPAM menghantar haiwan berkenaan ke pusat jagaan kucing sekiranya haiwan yang diselamatkan terbabit adalah terbiar tanpa pemilik.

Katanya, pusat jagaan terbabit dapat menyediakan rawatan dan jagaan yang baik kepada kucing berkenaan.

“Pusat jagaan kucing terbiar di bawah kendalian KKM juga sedia menerima kucing terbiar berkenaan,” katanya.

myMetro 13 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment