March 20, 2016

Pencuri pisang ajak geng

Batu Pahat: Dua peniaga adik-beradik dibelasah hingga pengsan oleh sekumpulan lelaki di kedai buah-buahan mereka, di Jalan Rengit, di sini, pada kejadian awal pagi.

Harun Arrashid Salahudin, 34, patah tulang muka manakala adiknya, Muhamad Fadzilah Salahudin, 28, lebam di muka selepas dibelasah hampir 20 individu, pada kira-kira 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Bahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata kejadian berlaku apabila dua beradik itu dikunjungi sekumpulan lelaki selepas seorang daripada rakan mereka dicekup kerana mencuri beberapa tandan pisang.

"Kedua-dua mangsa dipukul sehingga pengsan. Malah, seorang daripadanya mengalami patah tulang di muka dipercayai akibat dihentak dengan objek keras.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh bapa mereka, kira-kira 5 pagi," katanya.

Menurutnya, polis masih giat menjalankan siasatan berdasarkan beberapa bahan bukti di tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 148/326 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dan menyerang dengan niat mencederakan.

myMetro 19 Mac 2016


Joker, mana mau lari...

FOTO ihsan adik mangsa, Muhamad Fadzilah.

Batu Pahat: 17 daripada 20 samseng yang membelasah dua beradik peniaga buah-buahan sehingga parah awal pagi kelmarin berjaya ditahan polis selepas operasi memburu mereka dilancarkan semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, 17 suspek itu berusia antara 14 sehingga 40 tahun dan serbuan dilakukan di beberapa kawasan sekitar Rengit, dekat sini.

"Serbuan dilakukan hasil siasatan awal berdasarkan keterangan adik mangsa. Polis kemudian berjaya menahan 15 suspek kira-kira jam 1 pagi semalam, manakala dua lagi suspek ditangkap tengah hari tadi," katanya.

Menurutnya, sehingga kini polis masih giat memburu tiga lagi individu termasuk seorang suspek utama yang dikenali sebagai Joker yang dipercayai sedang bersembunyi.

Awal pagi kelmarin, dua beradik peniaga buah-buahan itu dibelasah sekumpulan 20 lelaki hingga pengsan ketika cuba menghalang dan menangkap salah seorang pencuri pisang di kedai mereka di Jalan Rengit.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, Harun Arrashid Salahudin, 34, yang kini koma dilaporkan patah tulang muka dan tengkoraknya retak manakala adiknya, Muhamad Fadzilah, 28, lebam di muka selepas dibelasah samseng berkenaan.

myMetro 20 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment