March 20, 2016

Cari orang buang saka anak

SEREMBAN - "Agresifnya kadang-kadang melampau, sampai dia boleh menumbuk kami anak beranak,” kata Lazan Pilus, 58, mengenai anak bongsunya yang menghidap masalah mental, selain dipercayai turut mempunyai saka sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, sudah pelbagai ikhtiar dilakukan, namun keadaan anak perempuannya itu semakin membimbangkan dan kini sedang menjalani rawatan penyakit mental di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini sejak dua minggu lalu.

“Saya perasan yang dia ada masalah mental sejak berusia 15 tahun apabila melihat perlakuannya yang bercakap seorang diri dan selalu mengamuk.

“Hospital ada beri ubat, tapi kadang-kala keadaannya tak terkawal. Saya terpaksa hantar dia ke hospital, sebab dia mengamuk dan tiba-tiba menumbuk isteri saya,” katanya.

Menurutnya, kudrat lelakinya juga tidak mampu menghalang dan melawan anak perempuannya itu setiap kali amukannya datang, lebih-lebih lagi dirinya yang menghidap penyakit jantung.

Disebabkan keadaan itu juga, katanya, anak sulungnya berusia 32 tahun terpaksa berhenti kerja kerana perlu membantu isteri menjaga dan mengawal perlakuan anaknya itu.

“Lagipun isteri saya pun tak sihat, baru saja keluar dari hospital selepas diserang strok. Saya ada cuba kaedah perubatan Islam, tapi keadaan anak saya hanya pulih sementara sahaja.

“Kadang-kadang sampah dia bawa pulang ke rumah. Polis pernah telefon saya jam 3 pagi beritahu anak saya berada di Taman Kobena, Senawang mengganggu rumah orang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Senawang, di sini, semalam selepas menerima sumbangan daripada Rumah Perlindungan Baitul Syifaa.

Sementara itu, Lazan berkata, walaupun kesihatannya tidak menentu, namun dia menggagahkan diri bekerja sebagai pekerja pembersihan sekolah demi menyara keluarga termasuk dua cucunya.

Menurutnya, dengan pendapatan bersih kira-kira RM700 sebulan, sukar untuknya menampung hidup menyebabkan rutin ke hospital bagi mendapatkan rawatan terpaksa dilupakan.

“Sepatutnya saya kena pergi ke Institut Jantung Negara (IJN) beberapa bulan sekali, tapi memikirkan kos pengangkutan dan ubatan, saya abaikan.

“Saya bukannya mengharapkan ihsan sesiapa, tapi beginilah keadaan kehidupan saya. Rumah yang kami duduk ini pun pernah tertunggak ansuran bulannya. Tapi mujurlah pihak Baitulmal membantu menjelaskannya,” katanya.

Turut menjadi harapan Lazan dan isterinya, Norhayati Mohd Ripin, 52, supaya ada pihak yang sudi membantu membuang saka anaknya bongsunya itu demi masa depannya.

Sinar Harian 19 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment