March 12, 2016

Pekerja kontrak teraniaya

SEREMBAN - Sekumpulan pekerja kontrak kebersihan sekolah berhimpun secara aman di bangunan Wisma Persekutuan yang menempatkan pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di sini, semalam.

Mereka berbuat demikian bagi membuat aduan berhubung nasib mereka yang tidak menerima gaji hampir tiga bulan daripada majikan mereka.

Difahamkan, kira-kira 40 pekerja terbabit dengan masalah berkenaan.

Adun Nilai, Arul Kumar berkata, pihaknya sudah membuat aduan berhubung perkara itu sejak Januari lalu, namun sehingga semalam tiada sebarang tindakan dibuat, termasuk majikan berkenaan.

“Saya bersama sebahagian 40 pekerja kebersihan sekolah mahu menuntut keadilan. Hak mereka sebagai seorang pekerja yang telah dianiaya oleh majikan.

“Kesemua mereka ini terdiri daripada keluarga miskin dan mempunyai pelbagai tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.

“Ada antara mereka tidak dapat membayar duit sewa rumah selama dua bulan disebabkan tiada duit. Malah, ada juga yang tidak menghantar anak ke sekolah kerana tidak ada duit untuk bayar kos pengangkutan anak,” katanya ketika ditemui di perkarangan Wisma Persekutuan, semalam.

Arul bagaimanapun berkata, menerusi bantuan JTK semalam, majikan terbabit bersetuju menyelesaikan masalah berkenaan dalam masa dua hari.

“Pagi ini (semalam) hasil perjumpaan dan perbincangan yang dibuat bersama JTK menunjukkan hasil yang positif.

“Saya berharap semua ini akan selesai dengan segera dan tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JTK negeri, S.Tharu Marajan berkata, pihaknya sudah memanggil pihak syarikat selaku majikan untuk mendapatkan maklum balas.

Beliau berkata, hasil perjumpaan secara bersama antara wakil pekerja dan majikan itu, mereka bersetuju membayar gaji Febuari sebanyak RM900 kepada semua terlibat, manakala baki RM 295 untuk gaji Januari akan dijelaskan dalam tempoh dua hari.

“Majikan juga berjanji dan memberi jaminan untuk membayar gaji setiap bulan sebelum atau pada 7 hari bulan serta berikrar tidak akan mengulangi perkara ini lagi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak syarikat gagal mengikuti janji yang dipersetujui, JTK akan mengambil susulan.

Sinar Harian 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment