March 12, 2016

Lelaki dituduh curi telefon meninggal

Alor Setar: Mangsa pukul akibat perselisihan faham berikutan dituduh mencuri telefon bimbit meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, kira-kira 7 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, polis masih menunggu laporan penuh analisis kimia dari pihak hospital bagi mengetahui punca sebenar kematian, namun laporan awal doktor memberitahu mangsa, Fesol Peraman, 50, mati bukan disebabkan kecederan akibat dipukul.

"Kita masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital untuk mengetahui punca sebenar kematian kerana laporan awal doktor turut mengesahkan mangsa menghidap penyakit hepatitis C, diabetis dan masalah jantung.

"Pada pergaduhan itu mangsa didapati cedera di kepala, patah tangan kiri serta lebam pada bahagian badan," katanya.

Adzaman berkata, mangsa dari Kampung Alor Setol, Jalan Langgar, di sini, dipukul suspek berusia 26 tahun yang juga jiran terdekatnya selepas suspek menuduh mangsa mencuri telefon bimbitnya.

Berikutan itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dirawat di ICU HSB selama tiga hari sebelum meninggal dunia pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

myMetro 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment