March 20, 2016

Pegawai awam IPD Kuantan maut

Keadaan kereta mangsa yang remuk dipercayai merempuh belakang lori yang sedang bergerak.

DUNGUN - Seorang pegawai awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan maut dalam satu nahas jalan raya di kilometer 375.5 Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) Bukit Besi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.56 pagi itu, Zasmani Mesah, 42 yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, sewaktu kejadian kenderaan  jenis Perodua Viva yang dipandu suami mangsa, Azmi Mohamad, 34 dipercayai telah merempuh  bahagian belakang sebuah lori yang sedang bergerak.

“ sewaktu kejadian mangsa bersama suami dan seorang anak mereka, Nurfasha Najwa, 10 dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dan ketika di lokasi kenderaan dipandu hilang kawalan serta merempuh bahagian belakang lori.

“Rempuhan itu menyebabkan kerosakan teruk di bahagian penumpang hadapan dan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, suami dan anak mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa yang beralamat di Kampung Nerang Jerangau di hantar Ke Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus dan mempunyai dua lorong serta cuaca baik serta persekitaran gelap tanpa lampu jalan," katanya.

Sinar Harian 17 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment