March 19, 2016

Khabar anak maut

AHLI keluarga membawa jenazah Nur Danish Danielle untuk dikebumikan.

Ampang: “Saya memanggilnya supaya pulang ke rumah. Namun dia terus menaiki teksi bersama dua rakan lain. Itu kali terakhir saya melihatnya,” luah Suzana Aman, 33, ibu kepada Nur Danish Danielle Masri, 8, yang maut akibat lemas di Tasik Kampung Kemensah berhampiran Zoo Negara, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa bersama dua rakannya dipercayai bermain di tasik berkenaan sebelum tergelincir jatuh dan lemas.

Suzana berkata, dia sebelum itu ternampak anak perempuannya membawa beg sekolah meninggalkan pangsapuri didiami.

“Saya berada di tingkat lima kediaman dan ternampak Danielle di seberang jalan. Saya memanggilnya pulang kerana Danielle perlu ke sekolah pada sesi petang. Bagaimanapun dia terus menaiki teksi bersama dua lagi rakannya.

“Saya sangkakan dia ke sekolah kerana membawa beg sekolah bersamanya. Tidak lama kemudian seorang individu menghubungi saya memaklumkan Danielle berada Hospital Damai, Taman Melawati, di sini, kerana lemas di tasik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

myMetro 14 January 2016



0 comments:

Post a Comment