March 20, 2016

‘Sudah lama kami peluk Islam’

Bidu Anita bersama Siti Aminah (kanan) dan Rahimah Shahira (kiri) menunjukkan satu-satunya surat membuktikan mereka telah memeluk Islam.

LABIS - Seorang wanita yang juga saudara baharu di Kampung Sawah Baru, di sini, bingung memikirkan nasib dua anak perempuannya yang masih belum menerima sijil perakuan memeluk Islam.

Bidu Anita Abu, 32, berkata, anaknya, Siti Aminah Abdullah, 12, dan Rahimah Shahira, 8, terpaksa menggunakan nama serta status agama seperti dicatat di dalam sijil kelahiran sebagai Hindu walaupun telah lima tahun memeluk Islam.

“Saya berketurunan Orang Asli dan telah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki India pada tahun 2002. Ketika mengandung anak ketiga, suami meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Johor Bahru lapan tahun lalu.

“Sebaik melahirkan anak ketiga, saya ambil keputusan memeluk agama Islam dan bertemu jodoh serta mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang lelaki Melayu tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, Siti Aminah dan Rahimah juga memilih untuk tinggal bersamanya dan telah memeluk agama Islam secara beramai-ramai pada 2011 di Bekok, sementara anak sulungnya kini tinggal bersama keluarga mertuanya di Johor Bahru.

Tambah Bidu Anita, dia juga buntu memikirkan apabila pada Mei ini, Siti Aminah perlu memohon kad pengenalan selain berhadapan masalah sama ada untuk menggunakan nama Islam atau nama asalnya untuk didaftarkan pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Saya dah beberapa kali rujuk permasalahan saya ini kepada pihak yang bertanggungjawab, namun hingga kini tiada sebarang jawapan atau keputusan muktamad yang diberikan kepada saya.

“Jika sekali dua saya gagal bertemu dengan pegawai terbabit atas alasan tiada di pejabat mungkin boleh diterima, namun hampir setiap kali saya cuba mengadu masalah ini, ada sahaja alasan yang diberikan kepada saya,” katanya.

Bidu Anita juga bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kedua-dua anaknya seperti kematian, masalah yang akan dihadapinya akan bertambah rumit kerana tiada sebarang dokumen pengislaman yang sah.

Katanya, dia juga terpaksa berhadapan pelbagai masalah ketika mendaftarkan anaknya di sekolah agama gara-gara kelewatan pihak bertanggungjawab mengeluarkan sijil perakuan memeluk Islam.

“Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat kerana sudah lama kami memeluk Islam.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu menyelesaikan masalah kami ini,” katanya.

Sinar Harian 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment