March 6, 2016

Malang bertimpa pesakit kanser hidung


Rosnani (kiri) menyampaikan Surat Bantuan Kelulusan Bantuan Pesakit Kanser daripada Majlis Kanser Nasional kepada Zakaria, semalam.

PASIR MAS – Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib ditanggung seorang pesakit barah hidung apabila dirinya tidak mampu lagi bekerja berikutan penyakit yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

Zakaria Salleh, 62, yang sebelum ini adalah seorang tukang rumah di Kampung Bakong berkata, keadaan berkenaan memaksa anak dan isterinya bekerja sebagai pembantu juru masak di kantin sebuah sekolah untuk terus menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Akibat penyakit tersebut, dia mengalami alahan teruk terutama jika berada di kawasan pembinaan.

“Saya dah hampir putus asa disebabkan penyakit ni. Tapi, bila fikirkan kecekalan anak-anak dan isteri, saya berasa sedikit tenang,” katanya, selepas menerima lawatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Rosnani Ab Manaf, semalam.

Beliau turut menyerahkan Surat Bantuan Kelulusan Bantuan Pesakit Kanser daripada Majlis Kanser Nasional (Makna).

Beliau berkata, Zakaria akan menerima bantuan sebanyak RM250 selama enam bulan, sebagai bantuan kos rawatan penyakit tersebut.

Sementara itu, Pegawai Jasa Meranti, Ahmad Anuar Husin berkata, bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan membantu rakyat dalam kesulitan.

“Kami harap Zakaria dan keluarga tidak berputus asa untuk sembuh daripada penyakit tersebut,” katanya.

SINAR HARIAN 6 MAC 2016

0 comments:

Post a Comment