March 6, 2016

Pekerja stesen minyak maut ke tempat kerja

Keadaan agak berkabus ketika kejadian,kira-kira jam 7 pagi tadi.

KUALA KRAI - Seorang pekerja stesen minyak maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Daskoh dekat sini,kira-kira jam 7 pagi tadi.

Mangsa, Siti Zuraini Mohd Fauzi, 26,dari Kampung Pahi terlibat kemalangan dengan kereta dipandu guru perempuan yang dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Gris,Dabong.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata,siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Menurutnya,apabila tiba di tempat kejadian,Kilometer 74,Jalan Kota Bharu Gua Musang,kereta dipandu guru wanita dari Arab bertentangan cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal.

"Guru berkenaan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar motosikal mangsa secara berdepan.

"Mangsa meninggal di tempat kejadian,siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan," katanya.

Abdullah berkata guru berusia 38 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya,kejadian  berlaku di jalan lurus,garisan berkembar dan keadaan agak berkabus.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 ( 1) Akta Pengangkutan Jalan  ( APJ) 1987.

Sinar Harian 6 Mac 2016


Bapa sebak dengar nama anak

KUALA KRAI - Empat hari selepas kematian anaknya dalam kemalangan ke tempat kerja, Ahad lalu, warga emas dari Kampung Pahi dekat sini, masih sebak setiap kali nama Siti Zuraini, 24, disebut ahli keluarga.

Bukan itu sahaja, Mohd Fauzi Ab Rahman, 66, berkata, sehingga kini dia tidak dapat menyebut nama Siti Zuraini yang tinggal bersamanya dan isteri, Rasiah Ya, 61, setelah anak yang lain berkahwin sementara anak bongsu belajar di Johor.

“Setiap kali ada yang menyebut namanya, pakcik sebak tiba-tiba. Pakcik juga tak dapat sebut namanya sampai sekarang.

“Dia anak yang baik, tak pernah tinggikan suara pada pakcik,” katanya ketika menerima sumbangan Faedah Pengurusan Mayat daripada Perkeso disampaikan Pengurus Perkeso Kuala Krai, Shukri Mohammad Daud.

Mohd Fauzi berkata, Allahyarham seorang anak yang penyayang menyebabkan anak saudaranya begitu akrab dengannya.

Menurutnya, Allahyarham juga anak yang bertanggungjawab, setiap bulan duit gaji akan diberikan kepadanya dan isteri.

“Setiap bulan, Allahyarham bagi duit tapi jumlah tak menentu. Kematiannya begitu dirasai sebab hanya dia yang tinggal dengan kami,” katanya.

Tambahnya, pada hari kejadian, dia tidak sempat bersembang lama dengan anak keenam daripada tujuh beradik itu yang tergesa-gesa keluar ke tempat kerja.

Mohd Fauzi dan isteri yang masing-masing menerima sumbangan RM750 daripada Perkeso berhasrat menggunakan wang tersebut untuk mengadakan tahlil untuk Allahyarham.

Sementara itu, Shukri berkata, disebabkan Allahyarham belum berkahwin, Faedah Orang Tanggungan (FOT) akan diberikan kepada ibu bapanya bermula 1 April depan.

Menurutnya, wang tersebut akan diterima sepanjang hayat, setiap bulan daripada Perkeso.

“Semoga dengan faedah ini, kedua ibu bapa Allahyarham akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Shukri berkata, berita Sinar Harian Online pada hari kejadian membolehkan kakitangan Perkeso menguruskan bantuan dengan segera.

Allahyarham mula bertugas di stesen minyak Petronas di Taman Guchil Jaya pada 15 September tahun lalu.

Ahad lalu, Allahyarham maut di kilometer 74 Jalan Kota Bharu Gua Musang kira-kira jam 7 pagi apabila motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan kereta dipandu guru wanita juga dalam perjalanan ke tempat kerja.

Sinar Harian 12 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment