March 8, 2016

Lelaki mengamuk di balai polis

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki tiba-tiba mengamuk apabila hasratnya untuk tidur di balai polis tidak dibenarkan oleh anggota yang bertugas di Balai Polis Bukit Payung, Marang pagi kelmarin.

Suspek berusia 30 tahun itu pada mulanya tiba di balai ber­kenaan pada pukul 4.40 pagi dengan alasan nyawanya terancam sebelum menimbulkan kekecohan lalu beredar, namun datang semula bersama empat rakannya pada pukul 7.30 pagi hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, suspek turut membawa sebilah parang yang kemudian diberi kepada salah seorang rakannya sebaik berada dalam balai itu, namun dicampak rakannya ke lantai.

Kosmo 8 Mac 2016


Lelaki buat kecoh ditahan

Marang: Lelaki berusia 30 tahun ditahan selepas membuat kecoh dengan memaki hamun serta menolak komputer di kaunter pejabat Balai Polis Bukit Payung, di sini, semalam.

Turut ditahan, empat lagi rakannya berusia 23 hingga 41 tahun yang dipercayai datang menemani suspek pertama selain merampas sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, suspek pertama datang ke balai polis berkenaan kira-kira jam 4.40 pagi bersama seorang rakannya memaklumkan mahu tidor di balai kerana keselamatannya terancam.

"Sebaik masuk ke dalam balai, suspek tiba-tiba mengamuk dan memaki hamun anggota yang bertugas dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat rakaman video di dalam balai.

"Suspek turut memaklumkan mahu berjumpa dengan ketua balai dan beredar sebelum suspek datang semula ke balai bersama empat lagi rakannya dengan salah seorang daripada mereka membawa sebilah parang.

"Kehadiran mereka yang berada dalam keadaan mencurigakan disedari sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang yang ada di sana.

"Ketika ditanya, suspek sekali lagi mengamuk dan memaki hamun anggota sebelum kesemuanya ditahan kira-kira jam 7.30 pagi untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi dua minit tersebar memaparkan seorang lelaki memakai baju Melayu serba merah membuat kecoh di Balai Polis Bukit Payung tersebar di laman sosial.

myMetro 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment