March 9, 2016

Hasrat jumpa kawan terkubur


Mayat mangsa dijumpai terbaring kira-kira 6.5 meter daripada motosikalnya.

KEMAMAN - Hasrat seorang buruh untuk bertemu rakannya di Kerteh, terkubur apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dalam kejadian di Kilometer 111.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Gelugor, di sini, awal pagi semalam.

Mayat mangsa, Mohd Zulkifli Ruhimin, 29, dari Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di atas jalan, tidak jauh daripada motosikalnya, kira-kira jam 6.50 pagi.

Lebih memilukan, mangsa yang masih bujang, menemui ajal setelah meredah perjalanan kira-kira 160 kilometer dan sudah hampir sampai ke tempat ditujunya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian, sebelum terbabas ke kiri jalan.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan, sementara motosikal Honda EX5 dinaikinya terseret sejauh 6.5 meter.

“Nahas itu disedari orang awam yang menemui mayatnya dalam keadaan terbaring atas jalan, sebelum bertindak menghubungi dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat. Mangsa didapati meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut keluarga kira-kira jam 2 petang untuk dikebumikan di Kuala Nerus.

Sinar Harian 6 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment