March 8, 2016

Denda RM2,000 curah air panas

Kuala Lumpur: Seorang pengawal keselamatan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencurah air panas pada tangan kiri seorang peniaga air minggu lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rozaime Abd Rahim, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Rozaime didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azman Udin, 25, dengan mencurah air panas pada tangan kirinya sehingga melecur di Kelab Echo, Jalan Doraisamy, Dang Wangi di sini, pada 3.30 pagi, 3 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa hendak masuk ke kelab itu, dia ditahan tertuduh kerana cop pada tangannya (mangsa) adalah palsu.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke sebuah restoran berhampiran untuk disoal siasat berhubung cop palsu berkenaan tetapi mangsa enggan bekerjasama menyebabkan tertuduh mencurahkan air panas ke tangan kirinya sehingga melecur.

myMetro 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment