March 13, 2016

Lelaki diburu bantu kes bunuh

Seremban: Polis meminta orang ramai yang mengenali seorang lelaki menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan kes bunuh tiga tahun lalu.

Amir Nor Shahril Shamsul Baharin dari Senawang diminta hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, pada 31 Mac ini bagi membantu pendakwaan kes bunuh berlaku pada 2013.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Nor Azman Mohammad Yusof berkata, lelaki berusia 27 tahun itu sehingga kini gagal dikesan.

Katanya, polis meminta kerjasama lelaki berkenaan supaya hadir di mahkamah bagi membantu siasatan.

Menurutnya, alamat terakhir lelaki itu adalah di Lorong Desa Ixora 1/15, Taman Desa Ixora, Senawang, di sini.

“Polis mengharapkan kerjasama penuh lelaki ini bagi membantu kes bunuh di sebuah pusat karaoke di Terminal 2, di sini tiga tahun lalu.

“Kes sudah dibicarakan minggu ini tetapi dia tidak hadir sebagai saksi,” katanya.

Beliau berkata, saksi terbabit penting untuk menyelesaikan pendakwaan di mahkamah.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai lelaki ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Venlan Midok dari Bahagian Risikan Jenayah, Bahagian Unit Rekod Perangkaan (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 06-7682222 atau 016-6318338,” katanya.

myMetro 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment