March 13, 2016

‘Mujur ada isteri setabah dia’

Sarina menunjukkan kesan pembedahan bagi membuang darah beku pada otak suaminya Disember lalu.

TAMPIN – "Syukur dikurniakan isteri setabah dia, jika orang lain saya rasa sudah lama saya ditinggalkan," demikian luahan pesakit strok, Safiuddin Nadzaruddin, 38, ketika ditemui di kediamannya di Taman Impian Jaya, di sini, semalam.

Menurut Safiuddin, dia diserang sakit secara tiba-tiba pada 6 Disember tahun lalu sebaik sahaja bangun dari tidur sehingga dia tidak mampu bergerak, seolah-olah lumpuh seluruh badan.

Katanya, isterinya, Sarina Hassan, 32, segera menghubungi Klinik Kesihatan Gemencheh bagi mendapatkan khidmat bantuan ambulans sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

"Saya tak sedarkan diri dan mengikut kata isteri, saya kerap demam serta meracau. Pada 7 Disember, saya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi menjalani CT Scan dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat darah beku di kepala selepas saya mendapat serangan darah tinggi.

"Kes saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun saya harus menunggu giliran sebelum dibedah di sana. Bagaimanapun, bimbang dengan keadaan saya, isteri sepakat dengan keluarga untuk menggunakan insurans kesihatan syarikat saya bagi menjalani pembedahan di hospital swasta,” katanya.

Tambah Safiuddin, oleh kerana kos pembedahan sebanyak RM42,000 dan perlindungan insurans hanya sekitar RM30,000 menyebabkan adik-beradiknya terpaksa mengeluarkan bantuan perubatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantunya.

Menurutnya, pembedahan dapat dilakukan apabila ada insan pemurah yang sanggup mendahulukan wang tunai sebelum adik-beradiknya berjaya mengumpul wang sebanyak RM12,000.

"Dari tak mampu bergerak, makan serta minum melalui tiub khas, terlantar dan terpaksa meminta bantuan  untuk mandi, isteri saya masih sanggup menjaga saya.

"Belum lagi dia terpaksa berhadapan dengan emosi saya yang tak stabil sejak sakit apabila sering marah-marah dan sensitif.  Malah, sejak sakit, kami sekeluarga hanya bergantung pada bantuan kewangan adik-beradik serta ibu sahaja," katanya.

Ujarnya lagi, selepas menjalani pembedahan di bahagian otak, dia kadang-kala terlupa perkara yang baru dibuatnya, namun isterinya akan membantu untuk mengingati kembali peristiwa berkenaan.

Sementara itu, bagi Sarina, walaupun perkahwinannya baru berusia setahun lebih, dia perlu memikul tanggungjawab menjaga suaminya, lebih-lebih lagi suaminya sudah banyak berkorban, termasuk memenuhi keperluan anaknya yang bersekolah asrama.

"Walaupun anak tiri, keperluan kewangan anak masih lagi menjadi keutamaan suami, malah sejak sakit serta kehilangan pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan, suami masih lagi memikirkan cara mengirimkan wang belanja buat anak.

"Saya harap sangat dia cepat sembuh dan setiap hari saya pastikan dia menjalani latihan berjalan di taman. Dari terlantar, dia kini dah boleh duduk tetapi sebelah kiri badan terutama tangan dan kaki masih belum boleh digerakkan," katanya.

Kata Sarina, dia sekeluarga kini hanya bergantung bantuan daripada adik-beradiknya.

"Saya juga rancang nak bekerja, namun saya berharap ada bantuan dihulurkan buat suami bagi membantu meringankan beban kewangan termasuk kos perubatan dia.

"Baru-baru ini saya cuba isi borang bantuan perubatan Baitulmal dan majikan suami pula menguruskan permohonan Perkeso," katanya.

Sinar Harian 11 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment