March 13, 2016

Padah buli jilat jalan

Petaling Jaya: Tiga remaja lelaki termasuk seorang berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan membuli dua pelajar tingkatan dua yang dipaksa menjilat jalan raya dan menyalak seperti anjing sehingga rakaman itu viral di laman sosial.

Tan Sze Keong, 18, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Lim Khoo Boo Kean, 19, penuntut kolej swasta dan seorang lagi remaja berusia 17 tahun menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan pada prosiding itu kerana mahkamah perlu menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah kemudian menetapkan 14 April ini untuk menjatuhkan hukuman.

Pada 5 Februari lalu, ketiga-tiga tertuduh didakwa menyuruh dua pelajar berusia 15 tahun itu bersujud sambil menjilat jalan raya untuk mengaibkan kehormatan mangsa.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di belakang sebuah sekolah menengah di Sea Park, Kelana Jaya, di sini, jam 1 tengah hari, pada 29 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 509, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala peguam Datuk Suraj Singh, bertindak bagi pihak Sze Keong dan Boo Kean, sementara remaja berkenaan tidak diwakili peguam.

myMetro 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment