March 20, 2016

Lagi penternak ikan sangkar rugi

Cuaca yang terlalu panas menyebabkan Azman (kiri) dan Mohd Muhaimi terpaksa membeli jaring peneduh untuk melindungi ikan-ikan mereka.

JERANTUT - Kira-kira 30 penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang berdekatan Jerantut Feri bakal kerugian sekiranya cuaca panas susulan fenomena El-Nino berterusan.

Penternak ikan sangkar, Azman Zainuddin, 46, mendakwa, suhu air di sungai Jerantut Feri yang menjadi lokasi ternakan ikannya kini mencecah 32 darjah celsius.

Menurutnya, suhu itu mengakibatkan kebanyakan ikan di dalam sangkar tidak dapat hidup seperti biasa selain aliran sungai perlahan dan berada pada paras sangat rendah.

“Saya juga rugi RM150 sehari sebab ikan tilapia yang saya ternak mati antara 30 hingga 40 ekor...bekalan ikan yang sepatutnya boleh dijual tiga bulan akan datang akan berkurangan jika cuaca panas berterusan.

“Bila bekalan ikan kurang, susah juga sebab tak lama lagi nak masuk bulan puasa, jadi saya kena buat persiapan supaya pelanggan dapat bekalan.

“Tapi saya terpaksa jual ikan yang beratnya antara 200 hingga 300 gram bagi mengelak lebih banyak ikan mati sebelum tempoh tuaian yang sepatutnya,” katanya.

Anaknya, Mohd Muhaimi Azman, 22, pula berkata, ikan tidak selesa dalam suhu sangat panas dan ada yang mati akibat aliran sungai perlahan.

“Selalunya paras air berdekatan dengan tebing sedalam kira-kira lima meter tapi sekarang pada kedalaman dua meter sahaja dan terdedah kepada cahaya terik matahari.

“Jadi, kami terpaksa keluarkan modal beli jaring peneduh untuk lindungi ikan yang terlalu panas dalam sangkar,” katanya.

Seorang lagi penternak, Khairul Anuar Che Mat, 35, bimbang terpaksa menanggung kos tambahan jika cuaca panas berterusan.

“Kalau terpaksa keluarkan modal, jadi terpaksalah kami naikkan harga ikan, kalau tak nanti kami rugi lagi,” katanya.

Sinar Harian 19 Mac 2016


Penternak ikan sangkar rugi setengah juta

Keadaan salah satu sangkar ikan di Kampung Bangau Parit milik seorang pengusaha yang tersadai di atas pasir.

TEMERLOH – Seramai 12 penternak ikan sangkar Sungai Pahang di Kampung Bangau Parit di sini kerugian lebih RM500,000 akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini.

Kesemua mereka yang mempunyai hampir 100 sangkar ikan patin dan tilapia menanggung kerugian itu sejak tiga tahun lalu ketika musim kemarau apabila paras air Sungai Pahang surut hingga mengakibatkan kawasan air cetek di sungai dipenuhi pasir.

Penternak, Kamarudin Jalil 43, berkata, fenomena El-Nino yang melanda negara pada tahun ini lebih dahsyat apabila kawasan ternakan dipenuhi pasir sungai lalu menyebabkan penternak tidak dapat lagi merancang pengeluaran ikan mereka berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pembalakan tidak terkawal hingga menyebabkan kawasan tadahan air di hulu sungai menjejaskan ekosistem juga menjadi punca kerugian yang dialami penternak di kampung itu.

“Kami mempunyai hampir 100 sangkar dengan setiap sangkar mempunyai nilai pasaran ikan kira-kira RM6,000 hingga RM7,000 dengan purata setiap penternak rugi melebihi RM40,000 setiap seorang.

“Kami memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa dengan mencari pelan jangka panjang dan jangka pendek bagi memulihkan keadaan sungai yang cetek ini. Bagi perancangan jangka masa panjang, kerajaan negeri digesa mengawal kegiatan pembalakan di kawasan tadahan air di hulu sungai dan bagi jangka masa pendek ialah dengan mengeluarkan pasir sungai yang semakin banyak,” katanya.

Bagi Mohd Al-Hafiz Yaakob 29, berkata, dia yang mempunyai 20 sangkar ikan terpaksa membayar balik pinjaman kepada pihak bank tetapi dalam keadaan sekarang sudah tentu sukar baginya.

"Ikan yang diternak mati akibat air sungai kering dan selebihnya pembesaran terbantut selain sangkar yang tersadai di atas pasir dan tidak boleh lagi untuk menternak pada musim hadapan," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bangau Parit, Fadhli Dzulkarnain berkata, JKKK Bangau Parit antara yang terjejas teruk selepas banjir 2014.

Menurutnya, selain kediaman penduduk yang 100 peratus ditenggelami banjir besar, 90 peratus pengusaha ikan sangkar terjejas teruk akibat limpahan pasir yang dibawa bersama arus banjir pada 2014.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diharap dapat membantu masalah yang dialami penternak ikan sangkar di kampung itu yang mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu.

"Masalah kemarau hingga menyebabkan air sungai menjadi cetek itu juga disebabkan faktor fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini dengan suhu panas melebihi 35 darjah celcius," katanya.

Sinar Harian 17 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment