March 20, 2016

Remaja maut, kereta berpusing langgar tembok

Kereta dinaiki tiga remaja remuk teruk selepas terlibat kemalangan, petang kelmarin.

TANJUNG KLING - Seorang remaja maut selepas kereta dinaiki bersama dua rakannya melanggar sebuah kereta Proton Persona dan merempuh pili bomba di bahu jalan di Jalan Batang Tiga, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira- kira 6.30 petang itu, mangsa Yong Xian Fong, 18, yang duduk di bahagian belakang kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu rakan sebayanya tercampak di tengah jalan sebaik sahaja kenderaan mereka berpusing selepas melanggar tembok parit. Kemalangan itu menyebabkan Xian Fong maut di tempat kejadian, manakala dua rakan yang duduk di bahagian hadapan kereta mengalami kecederaan.

Pemandu kereta Proton Persona yang bekerja sebagai pengurus jualan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kereta dinaiki dilanggar dari kanan sebelah hadapan sebelum sempat masuk ke simpang kanan untuk balik ke rumahnya di Taman Cederawasih.

Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan dua kereta dari arah Bukit Rambai menghala persimpangan lampu isyarat Batang Tiga / Klebang.

“Proton Persona dipandu lelaki berusia 48 tahun hendak berhenti di simpang untuk masuk ke kanan menghala Taman Cenderawasih tiba-tiba dilanggar kereta dinaiki tiga remaja dari arah belakang terkena bahagian depan kereta lelaki berkenaan.

“Pemandu Proton Iswara Aeroback dipercayai gagal mengawal kereta menyebabkan dia melanggar tembok parit di bahu jalan lalu berpusing di laluan bertentangan hingga mengakibatkan penumpang belakang tercampak di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan pili bomba berhampiran tembok tercabut dan tembok berkenaan termasuk dalam parit.

“Kedua-dua remaja berusia 18 tahun yang duduk di bahagian hadapan kereta Proton Iswara cedera di perut dan tangan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Manakala Xian Fong yang maut di tempat kejadian dibawa hospital sama untuk dibedah siasat," katanya.

Sinar Harian 19 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment