March 20, 2016

OKU sara hidup niaga cendol

Sulaiman dibantu oleh anak sulungnya ketika berniaga di gerai.

Sulaiman sedang menyediakan cendol untuk pelanggannya.

Gerai cendol Sulaiman yang berada di tepi Jalan Benut-Simpang Renggam.

KLUANG - Seorang orang kurang upaya (OKU) tidak menjadikan kekurangan fizikal dialaminya, sebagai penghalang untuknya mengusahakan gerai menjual cendol bagi menjana pendapatan bulanan keluarganya.

Sulaiman Md Taib, 49, berkata, dia pernah berputus asa disebabkan mengalami kesukaran mencari pekerjaan, namun atas sokongan keluarga, dia nekad menjalankan perniagaan menjual cendol untuk menyara kehidupan.

Menurutnya, perniagaan cendol diusahakan diberi nama Man Cendol Plus di Simpang Renggam, semakin mendapat sambutan.

Mengimbau kenangan lalu, katanya, kecacatan dialaminya itu setelah terlibat kemalangan jalan raya di Jalan Felda Layang-Layang ketika berusia 21 tahun.

“Ketika itu saya menunggang motosikal balik dari kedai. Dalam perjalanan pulang, motosikal saya bertembung dengan kereta. Akibatnya, tangan kiri saya terpaksa dipotong.

“Disebabkan itu, saya agak sukar mencari pekerjaan dan terfikir untuk berniaga sahaja, walaupun ketika itu saya tidak mempunyai pengalaman buat cendol,” katanya kepada Sinar Harian.


Hasil jualan cendol sara sembilan beranak

Walaupun tidak mempunyai pengalaman, hasil usaha gigih Sulaiman mempelajari kaedah membuat cendol yang sedap, akhirnya membuahkan hasil sehingga dikenali ramai.

Sulaiman berkata, sejak mengusahakan gerai cendol itu, dia mampu membesarkan enam anak yang kini berusia 10 hingga 23 tahun, di samping menyara ibunya.

“Hasil jualan selama 22 tahun inilah saya gunakan untuk menyara sembilan beranak. Walaupun rezeki diperoleh tidaklah semewah mana, namun saya tetap bersyukur saya mampu beri pendidikan kepada anak-anak.

“Pendapatan hasil jualan cendol yang diterima setiap hari, digunakan sehari-hari namun saya tidak pernah mengeluh dan tetap berusaha untuk menyara keluarga," katanya.

Tambahnya, dia menjual cendol bukan kerana minat tetapi mahu mencari nafkah untuk keluarga yang besar.

Katanya, hanya selepas mengetahui cara membuatnya, dia mulai minat melakukannya dan gemar mencuba menu baharu.


Terima bantuan mesin

Kejayaan diperoleh Sulaiman itu juga adalah hasil bantuan mesin diberikan Jabatan Pertanian dan program Azam 1Malaysia, bagi memudahkan penghasilan cendolnya.

Menurutnya, tanpa bantuan mesin berkenaan, proses membuat cendol akan menjadi lambat dan hasilnya sedikit.

“Tetapi sejak menerima bantuan ini, semua proses jadi mudah dan saya sendiri dapat jimat tenaga dan masa. Kalau tidak, mungkin saya terpaksa membuka gerai cendol lambat.

“Hasil jualan saya semuanya segar. Proses pembuatan dengan semua penyediaan bahan-bahan untuk cendol disediakan pada sebelah pagi dan dijual sebelah petang, lebih kurang jam 2 hingga 6 petang.

“Sehari saya buat lebih kurang 20 kilogram dan selalunya habis dijual tetapi bergantung kepada cuaca. Kalau musim panas jualan akan cepat habis, manakala kalau hujan, selalu saya akan kurangkan kuantitinya untuk mengelakkan kerugian,” katanya yang membuka gerai cendol di tepi Jalan Benut-Simpang Renggam.

Sulaiman turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan akibat kecacatan yang dialami.


Pelbagai menu cendol

Disebabkan mempunyai kelebihan mempelbagaikan menu, Sulaiman berjaya menghasilkan lebih 20 menu berasaskan cendol.

Katanya, semua menunya sentiasa ada dijual dan kebanyakan menu popular di gerainya ialah cendol kacang pulut durian.

“Menu ini digemari pelanggan terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama.

“Saya memang suka mencuba sesuatu yang baharu dan sebelum menjualnya, saya akan rasa dulu sama ada sedap ataupun tidak,” katanya.

Sulaiman berharap, menu yang ada di gerainya itu mampu menarik pelanggan, bukan sahaja dari dalam, malah dari luar kawasan Simpang Renggam untuk mengunjungi gerainya.

Sinar Harian 19 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment