March 16, 2016

Kolam makin kering

ABDUL Manap melihat kolamnya yang merekah akibat cuaca panas dan kering di Projek Ternakan Ikan Air Tawar Kampung Pandan Dua.

Kuantan: Pengusaha kolam ternakan ikan di Projek Ternakan Ikan Air Tawar Kampung Pandan 2, di sini, yang saban tahun terpaksa menanggung kerugian akibat banjir kini berdepan cabaran cuaca panas dan kemarau.

Ketua unit projek ternakan itu Abdul Manap Khalid Ahamat, 70, berkata walaupun baru dua minggu cuaca panas dan kering berlaku, tahap air dalam kolam berkurangan hampir satu meter.

“Perkara ini amat membimbangkan pengusaha kolam ternakan di projek ini. Mereka sudah menyuarakan kebimbangan kepada saya mengenai masalah ini dan mengharapkan jalan penyelesaian terbaik.

“Saya agak bimbang kerana jika cuaca panas dan kering ini berterusan dalam tempoh sebulan lagi, kebanyakan kolam di sini akan kering,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdul Manap berkata, jika kemarau berlaku seramai 18 penternak bukan saja berdepan masalah tumbesaran ikan tetapi turut menanggung kerugian.

“Kebiasaannya ikan yang dibela akan kekurangan oksigen dan memang susah untuk membesar mengikut tempoh matang antara lima hingga enam bulan.

“Keadaan air kolam yang panas ketika musim kemarau membuatkan ikan berada dalam keadaan tidak selesa.

“Jika kita beri makanan pun, ikan ini tidak makan banyak seperti biasa sebab itu ia akan bantut sedikit dan mengambil masa untuk membesar,” katanya yang turut menternak talapia.

Katanya, cara mengatasi masalah kekurangan air dalam kolam itu adalah dengan mengambil air bawah tanah melalui telaga tiub.

“Itu saja caranya, jika hendak harapkan air dari Sungai Pandan, ia agak jauh iaitu kira-kira empat kilometer, jadi cara paling sesuai adalah dengan menggunakan air bawah tanah.

“Sebelum ini, ada juga cadangan membina pintu air di Sungai Pandan bagi mengalirkan air ke kawasan ini namun sehingga kini tidak ada apa-apa perkembangan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah membelenggu penternak ikan projek berkenaan supaya mereka dapat meneruskan projek itu tanpa kebimbangan.

myMetro 16 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment