March 16, 2016

Legasi akhir Yusuf Golok

YUSOF menunjukkan pisau yang dihasilkan.

BESI dibakar untuk dilenturkan.

Kuala Terengganu: Yusof Golok bukan nama asing bagi penduduk Kampung Teluk Menara Manir, di sini, malah dia mendapat gelaran itu berikutan kemahirannya menghasilkan pelbagai jenis pisau dibuat secara tradisional.

Pengalaman selama 48 tahun dimiliki Yusof Golok atau nama sebenarnya, Yusof Abdullah, 67, dipelajari daripada bapanya sejak kecil membuatkan warga emas itu cukup mahir dalam selok-belok pembuatan pisau yang memerlukan kemahiran tinggi.

Antara jenis pisau dihasilkan Yusof pisau pemotong daging, golok, rangka pisau dan pisau filet dengan setiap proses bermula dengan besi dibakar sebelum diketuk dengan tukul besi untuk mendapatkan bentuk diingini.

Yusof yang berasal dari Kemboja dan berketurunan Melayu Champa berkata, dia mempelajari penghasilan pisau sejak kecil ketika menetap di Kemboja daripada bapanya yang juga seorang pembuat pisau.

Menurutnya, dia mula serius dalam pembuatan pisau ketika berusia 19 tahun, tetapi berhenti mempelajarinya kerana berhijrah ke Malaysia.

“Saya berhenti membuat pisau dan menjadi pekerja ladang di Perak dan selepas hampir 10 tahun kemudian barulah saya mula terfikir mahu menggunakan semula kemahiran membuat pisau yang ada.

“Selepas beberapa tahun di Perak, saya berpindah ke Terengganu dan hasil dorongan isteri, Fatimah Abdullah, 60-an, serta rakan, saya gunakan wang simpanan ketika bekerja di ladang sebagai modal membuka bengkel membuat pisau.

“Alhamdulillah, pembukaan bengkel masih mampu bertahan hingga sekarang,” kata bapa kepada 11 anak itu.

Menurut Yusof lagi, dia yang dibantu lima pekerjanya mampu menyiapkan lima jenis pisau pelbagai saiz dan bentuk dengan harga bermula RM50 hingga RM200 sebilah unit mengikut kehendak pelanggan.

“Pendapatan saya tidak menentu, tetapi secara purata lebih 150 pisau mampu dihasilkan setiap bulan dan tempahan meningkat ketika musim kenduri atau perayaan.

“Pembuatan pisau menggunakan teknik tradisional lebih tahan lama berbanding pisau moden kerana jenis besi dalam pembuatan pisau tradisional menjadikannya lebih tebal dan kuat.

“Pisau moden dua tiga kali terjatuh ke lantai pasti rosak dan tercabut daripada pemegangnya, tetapi kalau pisau yang dibuat dengan cara tradisional, ia lebih kukuh,” katanya.

Sementara itu, Yusof turut bimbang kerana tiada seorang pun anaknya yang berminat mewarisi ilmu pembuatan pisau dimilikinya.

Menurutnya, usianya sudah semakin meningkat dan tenaganya tidak begitu kuat untuk mengetuk besi yang dibakar kerana ia memerlukan kudrat hingga dia terpaksa mendapatkan bantuan pekerjanya.

myMetro 16 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment