March 16, 2016

Kilang barangan serbaneka terbakar

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran.

SEGAMAT - Sebuah kilang menjual barangan serbaneka dan barangan keperluan rumah di Sungai Siput, Jementah, di sini, terlibat dalam kebakaran awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah, Herman Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran daripada pekerja kilang tersebut pada pukul 11.43 pagi sebelum empat anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Disebabkan api yang semakin marak, kami mendapat bantuan daripada Balai Bomba Bandar Putra dengan kekuatan lapan anggota dan tiga jentera bagi membantu memadamkan kebakaran.

“Api dapat dipadam dan dikawal daripada merebak kira-kira 30 minit dan sebahagian besar daripada kilang tersebut musnah. Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran juga sedang disiasat oleh pihak forensik bomba dan jumlah kerugian juga belum ditafsirkan.

"Pihak bomba turut dibantu oleh pekerja kilang dalam usaha memadamkan kebakaran," katanya.

Sementara itu pengurus kilang yang enggan namanya didedahkan berkata, ini merupakan kejadian kebakaran pertama melibatkan kilangnya selepas mula beroperasi di kawasan tersebut pada Jun 2013.

Sinar Harian 14 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment