March 16, 2016

Ikan mati akibat cuaca panas

Ikan tilapia ditemui terdampar di tepi Sungai Kinta.

IPOH – Puluhan ikan tilapia ditemui mati di Taman Persisiran Sungai Kinta, semalam hingga menimbulkan keraguan dalam kalangan pengunjung taman dan pemancing di kawasan itu.

Kejadian yang bermula sekitar jam 9 malam, Jumaat lalu pada awalnya disangka berpunca daripada keracunan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun seorang pemancing dikenali Hadi, 29, berkata, sehingga lewat malam, hanya ikan spesies tilapia yang dikesan mati tetapi tidak meilbatkan jenis ikan lain yang turut terdapat di sungai berkenaan.

Menurutnya, ikan berkenaan dilihat banyak timbul di permukaan sebelum terdampar di tepi sungai.

“Biasanya kalau libatkan ikan tilapia ni disebabkan air tercemar, setahu saya, ikan jenis ni tak tahan kalau air tak bersih.

“Ikan lain tak pula mati, boleh dikatakan sepanjang persisiran sungai ni kita boleh nampak ikan ni timbul,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadi berkata, ia adalah kejadian pertama berlaku sejak dia memancing di kawasan itu lebih setahun lalu.

Katanya, selain tilapia, spesies lain yang terdapat di sungai berkenaan adalah keli, haruan dan patin.

“Saya dan rakan lain memang selalu memancing kat sini, kalau nasib baik boleh dapat sampai 20 kilo (kilogram), pagi tadi (semalam) pun dapat banyak juga ikan jadi sumber rezeki untuk kami,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, berdasarkan pemeriksaan dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiada kesan pencemaran berlaku di sungai itu.

Menurutnya, fenomena ikan mati berkenaan ada kaitan dengan perubahan suhu menyebabkan spesies itu tidak dapat hidup lebih lama.

“Buktinya, ikan yang mati secara semula jadi kerana suhu panas di lokasi ini banyak dihurung lalat, sebaliknya jika ikan mati keracunan, tiada lalat akan memakannya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan cuaca kering yang dirasai di beberapa lokasi, dikesan antara punca berlakunya gejala ikan mati seperti berlaku di Taman Persisiran Sungai Kinta.

Katanya, keadaan itu mempengaruhi paras air turun mendadak menyebabkan ikan mati dalam kadar yang banyak.

“Tidak hanya beri kesan pada haiwan, cuaca panas kering ini juga mendatangkan risiko kepada orang ramai.

“Jadi kita minta warga emas dan kanak-kanak terutamanya, berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar dan minum lebih banyak untuk elak kekurangan air dalam badan,” katanya.

Sinar Harian 14 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment