March 14, 2016

Khabar maut angin barat

LAPORAN Harian Metro, 20 Oktober 1998.

AHMADA berada di kawasan pantai di Umbai yang berlatar- belakangkan Pulau Besar.

Jasin: Tanpa menyedari ada musibah bakal menimpa mereka, kakitangan Pandanusa Island Resort di Pulau Besar, di sini, menghabiskan waktu bekerja syif petang pada jam 11 malam, terus bergegas ke Jeti Pulau Besar untuk menaiki bot membawa mereka ke tanah besar sebelum pulang ke kediaman masing-masing.

Namun ketika sampai di jeti, mereka tertanya-tanya mengapa bot bakal dinaiki itu hanya bot penambang kayu dan bukan seperti kebiasaan iaitu bot laju yang hanya mengambil masa singkat untuk tiba di Jeti Anjung Batu.

Perjalanan terakhir bagi bot dari Pulau Besar membawa 33 penumpang yang mana sebahagian besar adalah pekerja resort selain seorang bapa dan anak lelakinya yang mahu ke tanah besar kerana membawa remaja itu mendapatkan rawatan di hospital akibat disengat ikan.

Pada malam tragedi 18 tahun lalu iaitu pada 18 Oktober 1998, Ahmada Mohamad, 53, ketika itu berusia 34 tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di resort berkenaan terlebih dahulu dimaklumkan bot kebiasaan membawa pekerja rosak dan digantikan dengan bot kayu terbabit.

Menurutnya, sebelum bertolak pada jam 11.30 malam, pekerja merungut mengenai bot bakal dinaiki mereka, namun tidak banyak mempersoalkan keselamatan bot berkenaan kerana tidak ada sebarang tanda akan belaku ombak besar atau angin kencang.

Menceritakan tragedi meragut nyawa 15 rakannya Ahmada berkata, semua pekerja menaiki bot terbabit walaupun terpaksa berhimpit kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti umum pada keesokan harinya.

“Selepas 10 minit meninggalkan jeti, kami semua dapat merasakan tiupan angin kencang dari arah barat. Saya menganggap itu perkara biasa kerana kerap menempuh keadaan itu sepanjang berulang alik dari resort ke tanah besar sepanjang tiga tahun berkhidmat di situ dan yakin kami selamat sampai seperti biasa.

“Tiba-tiba kami dikejutkan dengan teriakan penumpang di belakang yang memberitahu air mula membanjiri bahagian itu. Kami semua tergamam penumpang lain pula mula panik kerana dalam masa hanya beberapa minit air memenuhi bahagian dalam bot menyebabkan ia menyenget, sekali gus menjadikan suasana ketika itu lebih kelam kabut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Enam, di sini.

Ahamada berkata, bagi mengelakkan bot sedang dilabung ombak itu terbalik penumpang terpaksa mengimbanginya dengan ke sisi kiri dan kanan, namun air terus membanjiri keseluruhan bahagian dalam bot.

“Penumpang bertambah cemas apabila lampu terpadam, dalam suasana gelap itu masing-masing menyelamatkan diri dengan mencapai jaket keselamatan dan ada yang terus terjun ke laut. Dalam keadaan genting itu sudah terlintas di fikiran kami semua tidak akan selamat disebabkan hujan lebat serta laut bergelora.

“Bot kami naiki mula karam dan saya tidak berhenti melaungkan azan walaupun ketika itu bot sudah mencecah dasar laut. Saya sempat menghabiskan laungan azan dan menyelamatkan diri dengan keluar dari bot itu sambil memegang erat jaket keselamatan diikat pada tangan kiri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, ketika cuba naik ke permukaan dia melihat keadaan yang bercahaya sebelum tidak sedarkan diri, namun bersyukur dirinya selamat kerana diapungkan jaket keselamatan.

Katanya, dia hanya sedar selepas disapa rakannya Abdul Jalil Jashim, dalam keadaan bingung dia dapat mendengar jeritan rakan yang lain meminta pertolongan.

“Apa yang saya tidak boleh lupakan adalah suara teriakan suami isteri Norhisham Hashim dan Khiniziah Alwi yang memanggil nama satu sama lain sebanyak tiga kali. Ketika itu amat sayu, tetapi masing-masing tiada upaya untuk membantu kerana keadaan gelap ditambah keadaan laut berombak sehinggalah suara mereka tidak lagi kedengaran.

“Saya dan Abdul Jalil bersama tiga lagi rakan memegang erat antara satu sama lain, namun keadaan laut bergelora dengan hujan menyebabkan tali digunakan terlepas. Mereka bertiga hanyut ke tempat lain meninggalkan saya dan Abdul Jalil.

“Dalam keadaan gelap kami dihanyutkan mengikut arus dari barat ke timur dan ketika itu masing-masing menyerah kepada takdir, kami hanya fikir mati dan berjanji jika saya atau Abdul Jalil selamat akan menemui keluarga masing-masing menyampaikan pesanan,” katanya.

Ahmada berkata, akibat terlalu lama berada di dalam air bahagian di paras pusat sehingga ke kaki berasa kebas dan semua sendinya pedih disebabkan sengatan ampai-ampai.

“Tidak lagi terkira berapa kali saya tertelan air masin, sehinggakan sudah berasa tawar dan akibat kepenatan saya kemudian tidak sedarkan diri, ketika hari semakin cerah, Abdul Jalil mengejutkan saya dan berasa amat bersyukur kerana menyangka dia sudah hanyut.

“Kami memeluk erat satu sama lain sambil menitiskan air mata, keadaan ketika itu berkabus, sekali gus menghadkan jarak penglihatan, namun ketika matahari terbit baru saya sedar kami sudah dihanyutkan ke perairan Pulau Melaka,” katanya.

Walaupun melihat bot penyelamat melintasinya Ahmada berkata, pasukan penyelamat tidak menyedari lokasi mereka hingga dia dan Abdul Jalil terpaksa menyelam bagi mengelak dilanggar salah sebuah bot berkenaan.

“Ketika itu kami yang kepenatan sudah putus harapan, namun pada jam jam 11 pagi sebuah bot besar milik persendirian melalui tempat kami terapung. ketika itu kami menemui papan dan memukulnya sekuat hati serta menjerit untuk menarik perhatian krunya.

“Syukur selepas lebih 12 jam terapung kami diselamatkan, kami bertambah ceria apabila dimaklumkan empat lagi rakan lain turut berjaya diselamatkan. Kami di hantar ke Jeti Syahbandar, Banda Hilir sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya.

Baginya dia mengganggap pengalaman itu seperti mati hidup semula dan pengalaman sama turut mengingatkannya kepada kebesaran Allah.

myMetro 14 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment