March 14, 2016

Khianat bakar teksi, motosikal




Petaling Jaya: Unsur khianat dipercayai menjadi punca teksi terbakar mendadak di hadapan rumah berhampiran Jalan PJU 10/2A, Damansara Damai, di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, teksi Proton Persona itu didakwa mula terbakar pada bahagian but sebelum merebak ke seluruh kenderaan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati teksi terbakar dan api dipadamkan orang awam yang berada di lokasi.

“Saksi kejadian mendakwa melihat asap hitam keluar dari bahagian belakang teksi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semasa kejadian, pemilik kenderaan itu tiada di lokasi dan punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, motosikal model Yamaha Nouvo terbakar di Jalan Nautika TSB di Sungai Buloh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, orang ramai memadam kebakaran sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

Anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh sebelum ini kerap menerima panggilan kecemasan berhubung kes kebakaran kereta mendadak di daerah itu terutama berlaku pada awal pagi.

myMetro 14 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment