March 12, 2016

Ketua Anak Negeri Meliau maut kemalangan

KINABATANGAN - Ketua Anak Negeri Meliau maut selepas kereta pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 10 Jalan Tongod-Telupid, semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata, dalam kejadian pada 4.15 petang itu, Isham Sadair Kinsui, 57, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut A. Sahak, seorang penumpang yang dikenali sebagai Saimon Ot Darinsok, 53, yang juga Ketua Kampung Meliau, cedera parah akibat retak tulang belakang.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Pekan Tongod menuju Kampung Meliau, Tongod.

"Apabila di tempat kejadian, kenderaan terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik beberapa kali ke dalam gaung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat manakala penumpang dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
11 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment