March 12, 2016

Ayah senyap menyepi sebelum kemalangan

BATU PAHAT – “Kami sekeluarga tidak menyangka sikap ayah sering berdiam dan meminggir diri dalam dua tiga hari sebelum kejadian, adalah kenangan terakhir daripadanya sebelum dia pergi buat selamanya,” kata anak kepada mangsa kemalangan di Kampung Parit Lintang Darat, Parit Yaani, Muhammad Fadhli Nor Mohd Saim, 23.

Menurut Muhammad Fadhli, kejadian berlaku pada jam 4 petang, Sabtu lalu, ketika itu dia bersama ayahnya, Nor Mohd Saim Sabran, 50, menaiki kereta dari jenis Nazaria sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik.

Katanya, akibat pelanggaran itu ayahnya telah mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Parit Yaani, sebelum meninggal di pangkuannya semasa rawatan diberikan.

“Semasa kemalangan ini berlaku, saya dan ayah dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kapal Layar, Tongkang Pechah selepas menghantar tempahan cendol di Kampung Sri Bengkal, Parit Yaani.

“Pada mulanya kami ada berbual-bual tetapi dengan tiba-tiba sahaja ayah senyap dan apabila saya toleh, ayah telah pitam. Seterusnya kereta dinaiki terbabas ke bahagian kanan jalan.

“Saya terkejut dengan kejadian itu, cuba mengejutkan ayah tetapi kereta kami naiki terus melanggar tiang elektrik yang berada di tepi jalan,” katanya ketika ditemui, semasa penyerahan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di kediamannya, semalam.

Katanya, beberapa hari sebelum kemalangan berkenaan termasuklah hari kejadian ayahnya tidak banyak bercakap dan hanya berbual dengan perkara yang berkaitan masa depan perniagaan cendolnya.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Maslina Salem, 47, berkata, punca sebenar pemergian suaminya itu adalah daripada masalah jantung, setelah disahkan semasa proses bedah siasat.

“Perkara berkenaan sungguh memeranjatkan tetapi kami sekeluarga reda dengan ketentuan dan menganggap ianya ujian daripada Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, Allahyarham Nor Mohd Saim layak menerima faedah Pencen Penakat sebanyak RM475 sebulan memandangkan arwah pernah mencarum sejak 1984.

Katanya, waris keluarga mangsa juga layak menerima faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500, yang diberikan untuk meringankan beban mereka.

"Walaupun arwah berhenti mencarum 20 tahun lalu, namun hasil semakan mendapati dia masih layak menerima faedah pencen daripada Perkeso ,"katanya.

Sinar Harian 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment