March 22, 2016

Jenazah juruteknik tiba dari China

Kuala Nerus: Penantian selama 10 hari keluarga arwah Mohd Yusran Alias, 43, yang meninggal dunia di Leshan, China pada 11 Mac lalu untuk dibawa pulang dan dikebumikan tercapai apabila jenazah juruteknik itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, jam 3.40 petang, semalam.

Difahamkan, arwah yang bekerja dengan Besi Apac Sdn Bhd beroperasi di Shah Alam, Selangor itu berada di China sejak awal Februari lalu meninggal dunia secara mengejut ketika bersiap untuk ke tempat kerja.

Bapa saudaranya, Zainudin Abdullah, 50, dari Wakaf Tembesu berkata, dia bersyukur kerana akhirnya jenazah anak saudaranya itu selamat dibawa pulang untuk dikebumikan.

“Pemergian arwah memang mengejutkan kami sekeluarga kerana Mohd Yusran yang dikenali sebagai seorang yang periang serta tidak menghidap penyakit kronik tiba-tiba meninggal dunia.

“Saya difahamkan arwah hanya menghidap penyakit kencing manis namun ia tidak serius, mengikut laporan yang diterima arwah meninggal secara mengejut dan bukan kerana diserang penyakit tertentu,” katanya ketika ditemui di pekarangan LTSM, di sini, semalam.

Mohd Yusran meninggalkan seorang balu, Noriza Mohd Yusof, 40, dan empat anak iaitu Asha Nabihah Mohd Yusran, 16; Mohd Afiq, 14; Nor Alia, 9, dan Mohd Aliff, 5.

Ketibaan jenazahnya itu turut disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Zainudin berkata, anak saudaranya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kecil sejurus selepas itu berikutan sudah lama meninggal dunia.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan menyifatkan arwah seorang anak saudara yang banyak membantu keluarga malah menjadi kebanggaan ahli keluarga kerana berjaya di dalam kerjayanya.

“Saya difahamkan beberapa hari sebelum arwah menghembus nafas terakhir, Mohd Yusran sempat menghubungi isteri dan anak-anaknya untuk bertanya khabar,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik malah tidak mengadu mengalami sebarang masalah kesihatan ketika menghubungi isterinya itu.

Adik arwah, Ahmad Syukri, 31, pula berkata, dia sekeluarga berasa lega kerana jenazah anak sulung daripada empat beradik itu selamat dibawa pulang.

“Jenazah arwah selamat sampai dan ia menjadi harapan kami sekeluarga sejak dimaklumkan dia meninggal dunia 11 Mac lalu,” katanya.

myMetro 21 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment