March 22, 2016

Nota terakhir ayah untuk Nursyasya

BATU PAHAT - “Semasa saya mengemas beg duitnya, saya terjumpa secebis kertas tertera tulisan ‘akak sayang ayah tak?’,” kata balu kepada mangsa kemalangan jalan raya, Suhaila Samsudin, 34.

Suhaila berkata, nota ringkas itu ditemuinya ketika arwah suaminya, Azman Dahlan, 34, masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), setelah terlibat dalam kemalangan pada 23 Februari lalu.

Menurutnya, dia tidak menyangka nota itu adalah nota terakhir untuk anaknya sebelum arwah meninggal dunia setelah lima hari menerima rawatan di hospital.

“Kesedihan itu semakin dirasai apabila anak kedua saya yang dipanggil dengan gelaran akak, (Nursyasya Adlina, 4) sering bertanyakan keadaan ayah kesayangannya itu.

“Sehingga ke hari ini dia (Nursyasya) anggap ayahnya masih menerima rawatan di hospital, saya tak sampai hati beritahu yang ayahnya dah meninggal dunia.

“Mereka berdua memang rapat, kebanyakan masa cuti arwah akan dihabiskan untuk melayan karenah anak kedua kami ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Mohamad, semalam.

Suhaila berkata, pada awalnya dia menganggap kejadian menimpa arwah suami hanya kemalangan biasa.

“Saya hubungi suami, namun tiada jawapan...tapi selang beberapa minit kemudian, saya terima panggilan yang arwah kemalangan dan dibawa ke hospital.

“Saya lega kerana arwah masih hidup, tapi akhirnya saya terpaksa reda juga yang ALLAH SWT lebih menyayanginya apabila arwah meninggal selepas lima hari dirawat di hospital," katanya.

Terdahulu, Suhaila menerima pampasan daripada Perkeso sekali gus meringankan beban ditanggungnya.

Pengurus Perkeso Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, Suhaila akan menerima dua pampasan iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM1,500 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) RM900 sebulan.

Sementara itu, penyerahan kedua-dua pampasan berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

Sinar Harian 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment