March 18, 2016

Enam kawasan catat paras gelombang haba kuat

Kuala Lumpur: Enam kawasan direkodkan melebihi paras ambang gelombang haba ekoran cuaca panas yang melanda negara ketika ini berpunca daripada fenomena El Nino kuat sejak 16 Mac lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, lokasi berkenaan membabitkan Chuping; Perlis, Alor Setar; Kedah, Ipoh dan Lubuk Merbau; Perak serta Batu Embun dan Temerloh; Pahang.

"Fenomena El Nino adalah keragaman iklim (climate variability) yang berlaku secara tidak tetap dalam tempoh dua hingga tujuh tahun.

" Keadaan cuaca panas ini boleh mencetuskan gelombang haba iaitu situasi yang membawa risiko kesihatan strok haba atau hipertemia serta dehidrasi," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, petunjuk paras ambang gelombang haba adalah apabila suhu tertinggi harian atau suhu maksimum sesuatu lokasi mencapai 35 darjah celcius untuk lima hari berturut-turut dan melebihi dua darjah celcius daripada purata jangka panjang suhu maksimum.

"Antara lain, suhu tertinggi harian mencapai atau melebihi 37 darjah celcius untuk tempoh tiga hari berturut-turut bagi kawasan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar terutama golongan warga emas, kanak-kanak serta mereka yang sensitif terhadap cuaca panas.

"Mereka juga disarankan supaya meminum lebih banyak air dan merujuk kepada pakar kesihatan sekiranya mengalami strok haba," katanya.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi pada 8 Mac lalu, cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang dialami sekarang diramal kembali normal pada Jun depan.

myMetro 17 Mac 2016


6 kawasan catat suhu tertinggi

PENTERNAK ikan air tawar, Abdul Manap Khalid Ahamad melihat keadaan kolam di Kampung Pandan Dua, Kuantan yang kering akibat cuaca panas luar biasa.

KUALA LUMPUR – Enam kawasan iaitu Chuping di Perlis; Alor Setar, Kedah; Ipoh dan Lubuk Merbau di Perak serta Batu Embun dan Temerloh di Pahang dikenal pasti mencapai paras gelombang haba sejak semalam ekoran fenomena El Nino.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Madius Tangau berkata, feno­mena El Nino itu merupakan ke­ragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap dalam tempoh dua hingga tujuh tahun.

“Keadaan cuaca panas ini boleh mencetuskan gelombang haba, iaitu situasi yang membawa risiko kesihatan hipetermia atau strok haba dan dehidrasi.

“Enam kawasan itu dikesan mengalami paras gelombang haba iaitu suhu tertinggi harian (suhu maksimum) telah mencapai 35 darjah Celsius untuk lima hari berturut-turut. Ia juga melebihi 2 darjah Celsius daripada purata jangka panjang suhu maksimum,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Penyerahan Kit Rumah Program Komuniti Bebas Denggi di Perpustakaan Kuala Lumpur di sini semalam.

Kosmo 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment