March 18, 2016

Lelaki Amerika ditikam penyamun

Kuala Lumpur: Padah menikam seorang lelaki warga Amerika ketika menyamun, seorang lelaki tempatan berjaya ditahan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam kejadian kejar-mengejar di Jalan Pinang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, seorang lelaki warga asing yang berjalan dari Pasar Seni untuk pulang ke hotelnya diserang suspek dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek berusia 33 tahun itu menikam bahagian belakang badan mangsa sebelum meminta menyerahkan wang.

"Mangsa yang enggan menyerahkan wang terus menolak suspek ke bahu jalan. Pihak polis yang terlihat pergelutan itu terus mengejar suspek sejauh 300 meter dan berjaya menahan lelaki itu.

"Hasil pemeriksaan menjumpai pisau dan suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kesalahan merusuh," katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi, petang tadi.

Susulan itu, suspek direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, lelaki warga Amerika yang cedera akibat insiden itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

myMetro 17 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment