March 16, 2016

'Aku penat balik kerja, kau curi kereta aku'

STATUS di akaun Twitter Remy Ishak.

KUALA LUMPUR : Pelakon Remy Ishak ralat apabila kereta jenis Mistsubishi Triton berwarna hitam miliknya hilang malam tadi.

Lebih menyedihkan apabila kereta dengan nombor pendaftaran WSB 7332 itu adalah aset pertama yang dibeli hasil titik peluh sebagai anak seni.

Ketika dihubungi, Remy, 34, mengakui hanya menyedari kehilangan kereta tu sebaik sahaja kembali dari kedai berhampiran rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

“Kereta ini menyimpan banyak kenangan dalam hidup saya. Biarpun sedih, saya reda dengan apa yang berlaku dan anggap ujian ini ada hikmah disebaliknya,” kata Remy.

Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak sebelum singgah di kedai berhampiran kediaman untuk membeli barang keperluan dia menghadiri sesi latihan pementasan Teater Cinduomato yang berlangsung di Istana Budaya.

“Sebaik sahaja kembali dari kedai saya mendapati kereta sudah lesap.

“Saya segera menghubungi seorang rakan dan kami membuat laporan di Balai Polis Serdang setengah jam selepas kehilangan kereta itu,” katanya.

Ditanya sama ada kejadian yang berlaku ada unsur khianat, Remy berkata, dia tidak mengesyaki sesiapa.

“Saya tidak nampak pun ada orang mengekori kereta sepanjang malam tadi. Apapun, saya sangat berharap sesiapa yang ada maklumat mengenai kehilangan kereta ini segera menghubungi talian 013-6293825,” katanya.

Remy turut berkongsi berita kehilangan keretanya itu melalui laman Twitter miliknya tengah malam tadi. Pelakon yang diikenali menerusi drama Nur Kasih itu turut meluahkan perasaan kecewanya di laman Instagram miliknya dengan kapsyen: "Aku penat baru balik kerja, kau curi kereta aku."

myMetro 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment